Ku Li nak siapa jadi PM soal MPT Bersatu

Ku Li nak siapa jadi PM soal MPT Bersatu

Fitri Nizam

SIAPA yang Tengku Razaleigh Hamzah mahu lihat jadi Perdana Menteri, soal Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Dr Muhammad Faiz Na’aman.

Beliau berkata, keakraban Pengerusi Jemaah Penasihat Umno yang lebih dikenali sebagai Ku Li dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bukan lagi rahsia.

Katanya, kedua-dua figura itu amat ‘risau’ jika Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri.

Bagaimanapun, katanya agak aneh kerana mereka berdua tidak pula menyokong kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin menerajui negara.

“Lantas siapa yang Ku Li mahu lihat jadi Perdana Menteri Malaysia? Adakah Tun Dr Mahathir buat kali ketiga atau adakah watak yang sedang menghadapi perbicaraan mahkamah kerana kes-kes korupsi sekarang ini?

“Atau adakah beliau masih merasakan dirinya layak untuk mencuba nasib untuk jadi Perdana Menteri sepertimana cubaan-cubaan beliau sebelum ini yang tercatat dalam sejarah politik sebagai gagal untuk menjadi Perdana Menteri?,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ketika membidas kenyataan dikeluarkan Tengku Razaleigh berhubung kerjasama Umno, Bersatu dan PAS, Muhammad Faiz menyifatkan pemimpin itu sebagai ‘warload’ Umno yang sudah tidak relevan.

Beliau berkata, kenyataan terbuka Ahli Parlimen Gua Musang itu sejak akhir-akhir ini sarat dengan nada negatif terhadap pihak kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang tertubuh atas semangat perpaduan Melayu-Islam-Bumiputera.

Katanya, selain dari berkali-kali menggesa Umno supaya mengkaji balik kerjasama politik dengan PAS dan Bersatu, veteran politik itu juga pernah mencadangkan supaya pemimpin Umno yang membarisi jemaah menteri agar berundur dari kabinet.

“Di peringkat negeri Kelantan pula, Ku Li cukup dikenali antara sosok ‘warlord’ Umno yang kurang senang dengan penubuhan Muafakat Nasional (MN) sebelum wujudnya kerajaan PN lagi.

“Bagi Ku Li, Umno perlu lawan PAS seperti dahulu walaupun hakikatnya Umno tak pernah berjaya menumbangkan PAS di Kelantan sejak zaman Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz lagi,” katanya.

Justeru, beliau berkata, jika dilayan suara ahli-ahli politik veteran yang masih dibuai dengan sentimen dan nostalgia lama seperti Ku Li ini maka bangsa Melayu tidak akan maju ke hadapan.

“Di sinilah cadangan Menteri Wilayah Persekutuan yang juga merupakan Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa baru-baru ini cukup bernas untuk difikirkan bersama apabila beliau menyeru agar diwujudkan gabungan politik besar antara parti-parti tempatan yang menolak Pakatan Harapan (PH).

“Ia tidak terbatas kepada MN dan PN sahaja. Amat berbeza pendekatan dan cara berfikir dua tokoh politik dari Kelantan ini yang dipisahkan dari segi usia,” katanya. – Malaysiapost

Komen