Kuartes guru di Sarawak musnah dijilat api

Kuartes guru di Sarawak musnah dijilat api

SEBANYAK tujuh unit kediaman guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Jaong di Sri Aman, Sarawak, musnah dalam kebakaran, malam tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, berkata lima daripada tujuh unit kediaman itu didiami lapan penghuni dan semuanya berjaya menyelamatkan diri ketika kejadian.

Katanya, kebakaran itu dikenalpasti berlaku di blok pertama yang menempatkan tiga unit kediaman.

“Kebakaran itu kemudian merebak ke blok kedua yang mempunyai dua unit kediaman dan kemudian merebak lagi ke blok ketiga yang juga mempunyai dua unit kediaman.

“Rumah pertama tidak berpenghuni, rumah kedua dihuni seorang guru lelaki dan rumah ketiga pula didiami seorang guru wanita manakala rumah keempat pula kosong.

“Rumah kelima dan keenam masing-masing didiami seorang guru wanita, manakala rumah terakhir didiami sekeluarga seramai empat orang termasuk dua kanak-kanak,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan yang memaklumkan kebakaran asrama SK Jaongitu pada jam 7.30 malam.

“Lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Aman dikejarkan ke lokasi sejurus menerima panggilan itu.

“Setibanya di lokasi, didapati bukan asrama sekolah itu yang terbakar, sebaliknya ia membabitkan kuaters kediaman guru.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mengenalpasti punca kejadian itu,” katanya. -Malaysiapost

Komen