PAC siasat 1BestariNet zaman Muhyiddin

PAC siasat 1BestariNet zaman Muhyiddin

JAWATANKUASA Kira-kira Wang Negara (PAC) merancang menjalankan siasatan terhadap 1BestariNet, sekali gus menjadikan kali kedua projek bernilai RM2.71 bilion itu diteliti dalam beberapa tahun terakhir ini.

Program yang dilaksanakan oleh YTL Communications Sdn Bhd dengan kerjasama Kementerian Pendidikan itu diharapkan dapat melengkapkan 10,000 sekolah dengan kemudahan internet 4G dan pembelajaran maya berkelajuan tinggi.

Pengerusinya Wong Kah Woh, berkata jawatankuasa telah dimaklumkan bahawa objektif projek tersebut masih belum tercapai.

“Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Pemerolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSUPKK) melaporkan dalam analisisnya mengenai kelemahan dan kecuaian dari segi tadbir urus yang menyebabkan objektif projek ini tidak tercapai,” katanya.

Sementara itu, Bernama melaporkan PAC akan menjalankan prosiding melibatkan tiga isu baharu termasuk pelaksanaan pertukaran tanah di bawah Kementerian Pertahanan.

Beliau berkata, selain isu pertukaran tanah dari 1995 hingga 2018 itu, PAC juga akan meneliti pelaksanaan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) (2012-2018) di bawah Kementerian Pengangkutan dan projek Perkhidmatan Sistem 1BestariNet (2011-2019) di bawah Kementerian Pendidikan.

Beliau berkata tiga isu itu dikemukakan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) kepada PAC melalui Pengerusinya yang juga bekas Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang pada Isnin lalu.

“PAC Parlimen berpendapat terdapat merit dalam ketiga-tiga isu ini untuk dibawa dalam prosiding jawatankuasa ini,” katanya pada sidang media di bangunan Parlimen, hari ini.

Menurut Wong, JKSTUPKK telah menjalankan siasatan terhadap 16 kes pertukaran tanah, kaedah digunakan bagi membangunkan fasiliti Kementerian Pertahanan dengan dibiayai tukar ganti tanah persekutuan dengan pihak swasta melibatkan 2,923 ekar tanah kerajaan dengan nilai tanah kira-kira RM4.8 bilion. -Malaysiapost

Komen