Pejuang hanya sokong Belanjawan 2021 jika 12 syarat ‘dilayan’ kerajaan

Pejuang hanya sokong Belanjawan 2021 jika 12 syarat ‘dilayan’ kerajaan

[PARLIMEN] DATUK Seri Mukhriz Mahathir memberi 12 syarat dari Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) kepada kerajaan untuk Ahli Parlimen parti itu menyokong Belanjawan 2021.

Mukhriz (Bebas- Jerlun) berkata, Pejuang nekad untuk menolak Belanjawan 2021 sekiranya beberapa pindaan yang dikemukakan tidak dilayan.

Antara 12 syarat yang dikemukakan termasuk lanjutan moratorium dan pengeluaran akaun 1 caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Kita nekad untuk menolak Belanjawan 2021 jika tiada perbahan terhadap syarat kami kemukakan. 12 syarat supaya kerajaan tak boros berbelanja dalam situasi ketika ini,” katanya perbahasan di Dewan Rakyat, hari ini.

Antara 12 syarat yang dikemukakan Mukhriz ialah menunda pembinaan membabitkan premis bagunan kementerian.

“Mengurangkan peruntukan kepada Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang meningkat daripada RM7.9 bilion kepada RM11 bilion.

“Pejuang juga mahu kerajaan menunda kesemua projek mega dan memberi tumpuan kepada projek-projek kecil.

“Kurangkan jumlah menteri Kabinet dan turunkan gaji menteri, timbalan menteri kalau boleh sehingga 30 peratus.

“Tambah belanjawan Kementerian Kesihatam Malaysia (KKM) untuk penyakit tidak berbangkit, walaupun kita bergelut dengan Covid-19, tidak bermakna penyakit lain hilang begitu saja,” katanya.

Sementara itu, Datuk Seri Nazri Aziz (BN- Padang Rengas) mengatakan kesediaannya menyokong belanjawan yang telah dibentangkan di Dewan Rakyat.

Bagaimanapun katanya, pelanjutan moratorium pinjaman dan pengeluaran akaun 1 caruman KWSP wajar dipertimbangkan kerajaan.

“Seperti mana yang lain, seperti Arau, Pekan, kita menyokong bajet ini dan kita minta dua perkara iaitu lanjutan moratorium dan pengeluaran caruman KWSP diberi pertimbangan,” katanya. -Malaysiapost

Komen