Penugasan PDRM, ATM ikut SOP PKPB

Penugasan PDRM, ATM ikut SOP PKPB

PENUGASAN Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Parlimen Batu Sapi, Sabah masih mengikut prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh Sabah ketika ini, meskipun darurat sudah diisytiharkan di kawasan itu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, polis bersedia jika Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengumumkan perintah lebih ketat seperti pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di mana-mana lokasi dalam kawasan Parlimen itu.

Kata beliau, berdasarkan arahan MKN, polis akan mengambil tindakan sewajarnya termasuk menambah anggota dan memperketatkan kawalan, tetapi setakat ini, penugasan di kawasan berkenaan seperti biasa.

“Saya akur dengan keputusan pengisytiharan ini yang bermakna Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Parlimen Batu Sapi tidak akan dilaksanakan kerana saya memang berpendapat pelaksanaannya perlu dielakkan berikutan jumlah kes Covid-19 yang tinggi di Sabah ketika ini,” katanya kepada Bernama.

Abdul Hamid berkata, kegiatan dan pergerakan orang ramai di kawasan Parlimen itu masih di bawah SOP PKPB tertakluk kepada arahan semasa MKN.

Sementara itu, Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Affendi Buang ketika dihubungi Bernama, turut senada dengan Abdul Hamid.

Beliau berkata, ATM akan mengikuti SOP ditetapkan kerajaan walaupun Batu Sapi diisytihar darurat.
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini, mengisytiharkan Proklamasi Darurat terhadap Parlimen Batu Sapi, sekali gus membatalkan pilihan raya kecil kerusi itu.

Proklamasi darurat berdasarkan Fasal (1) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan dilakukan selepas memperhalusi penjelasan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mempersembahkan nasihat beliau susulan keputusan mesyuarat Jemaah Menteri berhubung perkara itu.- Malaysiapost

Komen