PM jelaskan kenapa PRK Batu Sapi tidak perlu

PM jelaskan kenapa PRK Batu Sapi tidak perlu

Fitri Nizam

PERDANA Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberikan lima faktor penting kenapa Pilihan Raya Kecil (PRK) Batu Sapi perlu dielakkan.

Beliau berkata, pertamanya faktor ancaman terhadap kesihatan awam.

Katanya, pengalaman Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah menunjukkan pilihan raya yang diadakan ketika Covid-19 sedang melanda menjadi punca penularan gelombang ketiga wabak itu dalam komuniti.

“Walaupun prosedur operasi standard (SOP) yang ketat boleh ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), namun pematuhannya didapati amat lemah menyebabkan wabak ini sukar dibendung,” katanya dalam perutusan khas, hari ini.

Muhyiddin berkata, faktor lain ialah SPR menghadapi kekangan untuk mendapatkan petugas pilihan raya disebabkan kebimbangan yang tinggi dalam kalangan petugas bahawa mereka sendiri berkemungkinan terkena jangkitan Covid-19 ketika bertugas.

“Ketiga, pergerakan rentas daerah dalam kalangan petugas pilihan raya dan pengundi tidak dapat dielakkan dan ini akan meningkatkan risiko penularan Covid-19 ke daerah lain di Sabah.

“Keempat, kebimbangan mengenai risiko jangkitan Covid-19 dalam kalangan pengundi di Batu Sapi, terutama warga emas yang merupakan golongan berisiko tinggi.

“Daripada 32,962 pengundi berdaftar bagi Bahagian Pilihan Raya Parlimen P.185 Batu Sapi, seramai 7,377 orang atau 22.3 peratus adalah pengundi berumur 60 tahun ke atas,” katanya.

Faktor terakhir katanya, kesan ke atas kehidupan sosial dan ekonomi penduduk di Batu Sapi serta daerah Sandakan sekiranya penularan Covid-19 berlaku secara mendadak selepas PRK diadakan.

Kata beliau, kerajaan juga tidak mahu berlaku lonjakan kes baharu Covid-19 di Batu Sapi dan Sabah amnya jika pandemik itu menular selepas PRK kerana akan membantut usaha petugas barisan hadapan yang selama ini berhempas pulang membendung wabak itu.

“Berdasarkan faktor ini, Jemaah Menteri berpandangan PRK Parlimen Batu Sapi wajar dibatalkan dan ditangguhkan ke satu tarikh lain yang lebih sesuai, iaitu apabila pandemik Covid-19 berakhir,” katanya. – Malaysiapost

Komen