PRK Batu Sapi: SPR tunggu keputusan Kerajaan

PRK Batu Sapi: SPR tunggu keputusan Kerajaan

SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) menunggu keputusan kerajaan membabitkan situasi di kawasan Parlimen Batu Sapi sebelum memutuskan perkara membabitkan perjalanan Pilihan Raya Kecil (PRK) di kawasan itu susulan kematian penyandangnya bulan lalu.

Pengerusinya, Datuk Abdul Ghani Salleh, berkata jika darurat termasuk membabitkan kesihatan diisytiharkan, PRK Batu Sapi berkemungkinan ditangguhkan terlebih dahulu.

“Kita tunggu keputusan kerajaan (dalam) hal ini. Jika darurat…kita tangguh PRK,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Perana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini supaya supaya beberapa aspek perundangan dikaji bagi membolehkan PRK Batu Sapi di Sabah ditangguhkan terlebih dahulu, sehingga pandemik Covid-19 berakhir.

Perdana Menteri dilaporkan berkata, beliau sudah meminta SPR dan Jabatan Peguam Negara berbuat demikian pada Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) dua minggu lalu.

Selain itu, ketika ditanya mengenai prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat seperti dicadangkan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, sebelum ini, Abdul Ghani berkata, peraturan yang akan diguna pakai pada PRK di kawasan berkenaan lebih ketat.

“Tiada kempen atau ‘walk about’ dan lawatan ke rumah,” katanya.

Abdul Ghani berkata, pihaknya juga sedang meneliti cadangan Dr Noor Hisham dan Kementerian Kesihatan (KKM) supaya pengundi luar tidak pulang ke kampung halaman mereka untuk mengundi bagi mengelak jangkitan Covid-19.

Sebelum ini, media melaporkan KKM berpendapat pilihan raya tidak sesuai untuk diadakan ketika negara masih bergelut dengan penularan wabak Covid-19.

Dr Noor Hisham dilaporkan berkata, jika ia terpaksa dilakukan juga, KKM mengemukakan tiga syor iaitu seperti tiada perjalanan rentas negeri atau daerah, tidak ada himpunan dan tidak ada kunjungan dari rumah ke rumah.

Beliau berkata, pihaknya akan berbincang dengan SPR untuk melihat kemungkinan pengundian dapat dijalankan secara pos.

PRK Batu Sapi ditetapkan pada 5 Disember ini selepas kerusi Parlimen itu kosong susulan kematian penyandang, Datuk Liew Vui Keong dari Parti Warisan Sabah (Warisan) pada 2 Oktober lalu.

Tarikh 23 November pula ditetapkan untuk penamaan calon manakala 1 Disember sebagai tarikh mengundi awal. -Malaysiapost

Komen