Salah faham punca kritikan dilontarkan – Wan Ahmad Fayshal

Salah faham punca kritikan dilontarkan – Wan Ahmad Fayshal

Fitri Nizam

TIMBALAN Menteri Belia dan Sukan, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, ramai salah faham dengan cadangannya berhubung isu pengampunan hutang dan penciptaan wang.

Beliau berkata, jika berdasarkan tajuknya, sememangnya ia amat teknikal dan perlu perbincangan lanjut.

“Namun, nampak ramai salah faham dalam mengkritik berkenaan cadangan yang saya kupas dalam bahasa Inggeris tempoh hari menerusi siaran BFM.

“Jujurnya, tajuk ini memang teknikal dan perlu perbincangan lanjut serta asas mengenai asal usul wang dan perbankan moden,” katanya menerusi hantaran Facebook beliau, hari ini.

Beliau berkata, andaian kononnya akan berlaku hiper-inflasi seperti Zimbabwe disebabkan ramai kurang jelas terhadap cadangan itu.

“Ini tidak tepat seperti yang dijelaskan dalam makalah yang diterangkan oleh Biro Ekonomi Armada Nasional,” katanya sambil mengepil pautan laman Facebook Biro Ekonomi Armada Nasional.

Menurut Biro Ekonomi Armada Nasional, Modern Monetary Theory (MMT) membawa satu dimensi baharu dalam dunia kewangan apabila ia dilihat sebagai ‘penyimpangan’ besar dari teori ekonomi konvensional.

Teori ini kata Wan Ahmad Fayshal, mencadangkan kerajaan untuk mengawal dan mencetak mata wang sendiri bagi tujuan pembangunan infrastruktur serta pembayaran hutang dalam matawang itu sendiri.

“Teori ini menganjurkan perbelanjaan kerajaan dapat memacu ekonomi pada kadar kapasiti maksimum, menamatkan pengangguran dan membiayai program utama seperti penjagaan kesihatan, pengangkutan awam dan pelbagai lagi manfaat infrastruktur awam,” katanya. – Malaysiapost

Komen