SPR tentukan tarikh baharu PRK Batu Sapi selepas darurat

SPR tentukan tarikh baharu PRK Batu Sapi selepas darurat

SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) menangguhkan semua urusan berkaitan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Batu Sapi susulan Proklamasi Darurat yang diisytiharkan Yang di-Pertuan Agong, hari ini.

Pengerusinya, Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, tarikh baharu PRK Parlimen itu akan ditentukan semula sebaik arahan darurat ditarik semula.

Katanya, penangguhan susulan pengisytiharan Proklamasi Darurat di Parlimen Batu Sapi oleh Yang di-Pertuan Agong, sekali gus membatalkan PRK itu.

“Kita akan tangguhkan PRK Parlimen Batu Sapi. Kita akan maklumkan keputusan ini. Jadi semua urusan berkaitan PRK ini akan ditangguhkan sehingga satu tarikh baharu ditetapkan iaitu selepas darurat ditarik balik,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.

SPR sebelum ini menetapkan 5 Disember ini sebagai hari pengundian PRK Parlimen Batu Sapi, sementara hari penamaan calon 23 November, manakala hari pengundian awal 1 Disember.

Kerusi Parlimen Batu Sapi kosong susulan kematian penyandangnya, Datuk Liew Vui Kong pada 2 Oktober lalu, dipercayai akibat jangkitan paru-paru.

Mengenai PRK Parlimen Gerik di Perak dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya, di Sabah, Abdul Salleh berkata, buat masa ini SPR meneruskan aturan untuk mengadakan PRK seperti biasa sebaik dimaklumkan mengenai kekosongan rasmi kerusi berkenaan.

“Kerusi Parlimen Gerik kita sudah dapat (pemaklumkan kekosongan kerusi) hari ini, DUN Bugaya belum lagi. Kita akan meneruskan proses seperti biasa untuk menentukan tarikh penting PRK.

“Melainkan jika ada keputusan sama oleh kerajaan (untuk laksana darurat) di kawasan itu, maka kita akan tangguhkan juga,” katanya.

Semalam, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bugaya dari Parti Warisan Sabah (WARISAN), Manis Muka Mohd Darah, 65, meninggal dunia di Hospital Gleneagles di Kota Kinabalu, Sabah.

Dewan Rakyat pagi tadi telah mengemukakan kekosongan luar jangka bagi kerusi Parlimen Gerik kepada SPR berikutan kematiannya penyandangnya, Datuk Hasbullah Osman di Raub, Pahang kerana sakit jantung, kelmarin. – Malaysiapost

Komen