Syarat i-Sinar KWSP menyulitkan, tidak adil – Mahfuz

Syarat i-Sinar KWSP menyulitkan, tidak adil – Mahfuz

Muhammad Mustakim Ramli

[PARLIMEN] SYARAT yang diperkenalkan bagi pendahuluan i-Sinar, akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menyulitkan dan tidak membantu rakyat yang terkesan akibat Covid-19.

Datuk Mahfuz Omar (PH-Pokok Sena) berkata, syarat seperti perlu caruman sebulan dalam tempoh antara Mac 2019 hingga Februari 2020 adalah tidak adil bagi mereka yang pernah mencarum sebelum tempoh itu.

“Jika individu itu mempunyai simpanan yang banyak sebelum tempoh itu dan dia berhenti kerja di Malaysia dan bekerja di luar tetapi kerana kesan pandemik di seluruh dunia menyebabkan dia juga kehilangan kerja.

“Jadi apabila dia pulang ke Malaysia sepatutnya dia juga layak dan diberi hak untuk mengeluarkan caruman mereka,” katanya ketika perbahasan di Dewan Rakyat, hari ini.

Mahfuz berkata, KWSP juga perlu memberi kelonggaran kepada individu yang masih bekerja untuk mengeluarkan caruman masing-masing bagi membantu ahli keluarga lain yang terkesan.

“Seperti di kampung.. ada syarikat kecil tidak mencarum tetapi terpaksa tutup syarikat kerana kesan pandemik dan pekerja mereka hilang kerja.

“Jadi sekurang-kurangnya ibu bapa yang masih bekerja dan mempunyai caruman walaupun tak terjejas pendapatan, saya berpendapat mereka mempunyai hak untuk mengeluarkan caruman bagi membantu anak mereka.

“Jadi kita harap ia diperluaskan lagi dengan sekurang-kurangnya dibenarkan mengeluarkan caruman sebanyak RM10,000,” katanya. -Malaysiapost

Komen