Tiada pemerintahan ala tentera di Batu Sapi

Tiada pemerintahan ala tentera di Batu Sapi

Fitri Nizam

DARURAT yang diisytiharkan di Batu Sapi hanyalah untuk membatal dan menangguhkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Batu Sapi demi melindungi nyawa rakyat, kata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, kehidupan rakyat di Batu Sapi tidak akan terjejas dengan pengisytiharan darurat ini.

“Tidak ada perintah berkurung atau pemerintahan ala tentera di Batu Sapi… tak ada.

“Pentadbiran kerajaan, kegiatan ekonomi dan aktiviti sosial dapat diteruskan tertakluk kepada amalan norma baharu dan peraturan serta prosedur operasi standard (SOP) di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang sedang berkuatkuasa di negeri Sabah,” katanya dalam perutusan khas hari ini.

Muhyiddin berkata, kerajaan Perikatan Nasional (PN) memberi jaminan bahawa apabila pandemik Covid-19 berakhir, PRK Batu Sapi akan diadakan dengan kadar segera.

“Tertakluk kepada peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan. Apabila PRK diadakan kelak, pengundi akan dapat melaksanakan hak demokrasi masing-masing dalam keadaan yang lebih selamat, aman dan tenteram,” katanya. – Malaysiapost

Komen