Warga emas ditemui mati dalam tandas

Warga emas ditemui mati dalam tandas

SEORANG lelaki warga emas ditemui mati di dalam tandas di sebuah rumah di Taman Pelangi, Johor Bahru, hari ini.

Difahamkan, mangsa, Er Chiang Seng, 77, tinggal sendirian di rumah dua tingkat berkenaan kerana keluarganya kini berada di Singapura.

Kejadian itu disedari jiran mangsa yang mendapati pintu belakang rumah terbuka dan melihat warga emas tersebut terbaring dalam tandas.

Jiran itu kemudian menghubungi polis dan bomba pada jam 10.44 pagi tadi untuk mendapatkan bantuan.

Sementara itu, Komander Operasinya, Pegawai Bomba Kanan II, Nordatul Badrol Abd Rahman, berkata pihaknya mendapati lelaki warga emas tersebut terbaring tidak sedarkan diri dalam tandas.

Katanya, seramai 11 anggota dari Balai Bomba Penyelamat (BBP) Larkin dengan sebuah jentera Fire Rescue Team (FRT) serta satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke rumah warga emas itu.

“Pemeriksaan yang dilakukan oleh Pegawai Perubatan dari Hospital Sultanah Aminah (HSA) mendapati warga emas itu sudah meninggal dunia.

“Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi berkenaan tamat pada jam 11.29 pagi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. -Malaysiapost

Komen