Warisan sambut baik darurat Batu Sapi, harap kerajaan jaga kebajikan rakyat

Warisan sambut baik darurat Batu Sapi, harap kerajaan jaga kebajikan rakyat

Fitri Nizam

KERAJAAN diharap dapat mencari jalan terbaik untuk memastikan tarikh baharu tertentu dapat ditetapkan untuk diberitahu kepada penduduk di kawasan Batu Sapi tempoh berakhirnya darurat.

Presiden Parti Warisan Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata Warisan menjunjung kasih terhadap proklamasi darurat yang diisytiharkan Yang di-Pertuan Agong di Parlimen Batu Sapi, hari ini.

Katanya, pihaknya percaya Seri Paduka Baginda mengeluarkan titah tersebut atas keprihatinan terhadap kesihatan rakyat Sabah khususnya di Batu Sapi yang kini merupakan salah satu kawasan merah akibat Covid-19.

“Baginda menggunakan kebijaksanaan dalam pengisytiharan itu yang sekali gus menangguhkan pelaksanaan Pilihan Raya Kecil (PRK) yang dijadualkan pada 5 Disember depan.

“Dalam melaksanakan proses demokrasi, kesihatan rakyat tidak boleh dijadikan pertaruhan, sebaliknya perlu menjadi keutamaan dalam situasi negara ketika ini yang masih berjuang menentang penularan Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, Mohd Shafie berkata, Warisan berpendapat setiap rakyat di Batu Sapi perlu mempunyai pemimpin yang mewakili mereka dan membawa isu-isu di Parlimen.

“Warisan harap, hak rakyat Batu Sapi untuk memilih wakil rakyat ditunaikan sebaik saja jangkitan Covid-19 dapat dikawal dan selepas kerajaan menarik balik pelaksanaan darurat.

“Selain itu, Warisan berharap agar dalam tempoh darurat ini, kerajaan memberi jaminan supaya kebajikan rakyat di Batu Sapi terutama bantuan makanan dan keperluan harian sentiasa diutamakan tanpa ada pilih kasih,” katanya. – Malaysiapost

Komen