Ahli Parlimen tolak Belanjawan 2021 adalah pengkhianat, termasuk Najib – Shahidan

Ahli Parlimen tolak Belanjawan 2021 adalah pengkhianat, termasuk Najib – Shahidan

[PARLIMEN] AHLI Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim menyifatkan ahli Dewan Rakyat termasuk bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, sebagai pengkhianat sekiranya mereka menolak Belanjawan 2021.

Beliau berkata, belanjawan yang dibentangkan baru-baru ini adalah yang ditunggu-tunggu terutamanya bagi individu yang terkesan akibat wabak Covid-19.

“Saya ingin mengingatkan kepada Dewan Yang Mulia ini, sesiapa sahaja termasuk sahabat saya dari Pekan (Najib) yang menolak bajet ini adalah pengkhianat kepada rakyat.

“Sebab ini rakyat sedang menunggu, anggota kerajaan menunggu supaya bajet ini diluluskan…mereka yang dibuang kerja menunggu agar mereka diambil bekerja semula. Kita tolak bajet kita hina mereka, kita khianat mereka.

“Saya merayu, tapi kalau tuan-tuan tak mahu terima rayuan, terpulang. Saya baca ayat al-Quran tadi,” katanya ketika sesi bahas di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut Shahidan,  tidak seharusnya wujud prasangka buruk di kalangan Ahli Parlimen terutamanya pembangkang terhadap kerajaan kini dengan mengeluarkan kenyataan menuduh seperti ‘kerajaan pintu belakang’ atau ‘tebuk atap’.

Ini kerana, sebelum ini Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan mengulangi kenyataan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang hanya akan memberi sokongan terhadap Belanjawan 2021 dengan meletakkan syarat bahawa kerajaan perlu memenuhi beberapa tuntutan.

Menerusi kenyataan Najib, beliau memohon kerajaan membenarkan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengeluarkan simpanan secara sekali beri atau ‘one off’ sebanyak RM10,000 dan melanjutkan moratorium pinjaman bank secara pukal sehingga enam bulan lagi termasuk mereka daripada kumpulan M40.

Menurut beliau, wang yang dikeluarkan daripada akaun pencarum boleh dijadikan sokongan kelangsungan hidup dalam masa setahun atau dua tahun lagi dalam mengharungi krisis Covid-19.  

Sementara itu, Najib berkata beliau tidak ‘rugi’ jika dipanggil pengkhianat jika pengkhianatan itu memenuhi kehendak rakyat.

“Bertahun-tahun lamanya saya telah dipanggil pembunuh, perompak, penyamun, penyangak, penzina atau penjual negara oleh Atok dan gengnya. Saya tetap sabar.

“Jadi, tak rugi apapun jika saya turut dipanggil pengkhianat jika pengkhianatan saya dan kawan-kawan ini berjaya memenuhi kehendak rakyat pada masa mereka paling terdesak dalam krisis dunia paling teruk sejak 100 tahun dahulu.

“Asalkan jangan panggil saya Kit Siang sudah,” katanya menerusi hantaran di Facebook.-Malaysiapost

Komen