Covid-19: Jumlah kes harian meningkat kembali kepada 4 digit

Covid-19: Jumlah kes harian meningkat kembali kepada 4 digit

Muhammad Mustakim Ramli

JUMLAH penularan kes Covid-19 kembali meningkat kepada empat digit, selepas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merekodkan 1,290 kes hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata daripada jumlah itu 1,285 membabitkan kes tempatan, manakala lima lagi kes adalah import.

Katanya, jumlah itu menjadikan keseluruhan kes Covid-19 di negara ini adalah 51,680 kes.

“Dua negeri yang mencatatkan kes yang tertinggi pada hari ini adalah Sabah dengan 660 kes dan Selangor dengan 407 kes.

“Pelaporan kes yang tinggi di Sabah berpunca daripada kluster-kluster berkaitan Pusat Tahanan Sementara (PTS), lokap dan penjara iaitu 250 kes.

“Manakala, peningkatan kes di Selangor pula berpunca daripada Kluster Teratai iaitu 245 kes dan sebuah kluster baharu pada hari ini iaitu Kluster Kapas BJ sebanyak 55 kes. Kedua-dua kluster itu adalah kluster berkaitan tempat kerja yang membabitkan bukan warganegara,” katanya menerusi kenyataan.

Sementara itu, Noor Hisham berkata bilangan kes sembuh Covid-19 hari ini adalah sebanyak 878 kes, menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya daripada Covid-19 adalah 38,132 kes.

“Sehingga kini, terdapat 110 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 37 kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Dukacita dimaklumkan terdapat pertambahan empat kes kematian berkaitan Covid-19, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 326 kes,” katanya. -Malaysiapost

Komen