Isu cetak wang: Biar orang layak sahaja keluarkan kenyataan ekonomi – DPIM

Isu cetak wang: Biar orang layak sahaja keluarkan kenyataan ekonomi – DPIM

KERAJAAN akan berdepan dengan masalah ekonomi dan kewangan negara akan terjejas sekiranya cadangan mencetak wang secara berleluasa berlaku.

Ketua Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM), Shahir Adnan berkata, masalah yang bakal dihadapi negara termasuklah nilai mata wang ringgit akan jatuh merudum disebabkan mengeluarkan berlaku melebihi had.

“Kerajaan terpaksa mengapungkan mata wang baharu, bermakna ringgit tidak lagi digunakan. Tiada lagi legasi negara sendiri.

”Negara terdedah kepada penjajahan ekonomi apabila gagal membayar hutang akibat nilai ringgit sangat murah. Akibatnya, syarikat-syarikat asing ada hak untuk mengambil alih kawasan-kawasan perindustrian dalam negara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Shahir, selain itu, peningkatan kadar pengangguran akan berlaku dan dalam masa yang sama taraf kemiskinan di kalangan rakyat bawahan akan semakin membimbangkan.

Sementara itu, beliau berkata cadangan mencetak wang lebih banyak hanya akan membuat jurang kemiskinan semakin melebar.

“Yang kaya terus kaya, yang miskin menjadi papa kedana. Banyak bank akan muflis dan simpanan rakyat lenyap.

Justeru, beliau berharap Bank Negara akan berhati-hati dan berwaspada dalam mengeluarkan kenyataan, serta hanya pihak yang layak sahaja dibenarkan untuk membuat sebarang kenyataan berkaitan ekonomi.

“Cara terbaik untuk menolong rakyat, tanpa menjejaskan ekonomi negara adalah dengan pengeluaran wang simpanan rakyat melalui Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan moratorium secara automatik agar ekonomi dirangsang dengan terkawal,” ujarnya lagi.

Terdahulu, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dalam kenyataan semalam mencadangkan supaya Bank Negara mencetak lebih banyak wang kertas untuk diagihkan kepada rakyat untuk dibelanjakan.

Kenyataan beliau mendapat reaksi pelbagai pihak yang berpendapat bahawa cadangan itu tidak bersesuaian kerana boleh memburukkan lagi keadaan ekonomi semasa negara. – Malaysiapost

Komen