Kedah import Youtubers luar negara promosi produk pelancongan

Kedah import Youtubers luar negara promosi produk pelancongan

KERAJAAN Kedah menggunakan khidmat pengguna YouTube dari luar negara untuk mempromosi produk pelancongan yang menarik di negeri itu.

Exco Pelancongan, Mohd Firdaus Ahmad, berkata ketika ini seramai lima pengguna YouTube dikenal pasti untuk menjayakan promosi berkenaan.

“Kedah Tourism merancang satu program ‘Jom Mai Kedah’ membabitkan lima pengguna YouTube dari Jerman, Portugal, Kanada, Amerika Syarikat dan Filipina bagi mempromosikan makanan, budaya dan tempat-tempat menarik di negeri ini pada November ini.

“Program tersebut dijangka meraih sebanyak 120,000 tontonan bagi setiap ‘vlog’ (blog video) yang dimuat naik di laman YouTube mereka,” katanya seperti dilapor Utusan Malaysia.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Hanif Ghazali (PAS-Tanjung Dawai) dalam sesi pertanyaan lisan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, hari ini.

Hanif bertanyakan mengenai program yang dilaksanakan bagi menarik pelancong ke Kedah selain penambahbaikan yang telah dilakukan di lokasi-lokasi menarik sedia ada di negeri ini.

Mohd Firdaus berkata, sebanyak tujuh vlog akan diterbitkan oleh setiap peserta terbabit.

“Sebanyak 70 peratus penonton video itu nanti dijangkakan datang daripada pelancong domestik manakala bakinya merupakan pelancong antarabangsa,” katanya. -Malaysiapost

Foto Kredit: kedah.gov.my

Komen