Kena jahit di muka kerana lembu

Kena jahit di muka kerana lembu

SEORANG peneroka cedera di muka dan menerima lapan jahitan selepas diserang seorang lelaki menggunakan parang gara-gara tidak berpuas hati di Ketengah Jaya, Dungun, semalam.

Kejadian 5 petang itu dikatakan berpunca daripada lembu milik mangsa itu dikatakan memasuki kawasan tanaman rumput suspek.

Menurut sumber, kejadian berlaku ketika mangsa berusia 62 tahun dalam perjalanan ke kandang lembunya dengan menunggang motosikal sebelum ditahan suspek berusia 60 tahun yang juga seorang peneroka.

Katanya, suspek memaklumkan lembu mangsa memasuki kawasan tanaman rumput miliknya sebelum berlaku pertengkaran mulut antara mereka.

“Suspek yang gagal mengawal perasaan marahnya dikatakan pergi ke arah kenderaannya sambil membawa sebilah parang lalu menyerang mangsa.

“Serangan itu menyebabkan mangsa jatuh dari motosikalnya manakala suspek dan menantunya yang turut berada di lokasi kejadian segera beredar.

“Mangsa yang luka di pipi kanan pulang ke rumahnya sebelum dibawa anaknya mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Ketengah Jaya dan kemudian membuat laporan di Balai Polis Ketengah Jaya,” katanya seperti dilapor Harian Metro.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian berkenaan.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan menggunakan senjata atau lain-lain benda berbahaya. – Malaysiapost

Gambar sekadar hiasan.

Komen