KKM, GAVI tandatangani perjanjian Covax

KKM, GAVI tandatangani perjanjian Covax

[PARLIMEN] KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) dan ‘The Global Alliance for Vaccine and Immunisation’ (GAVI) sedang memuktamadkan tarikh bagi menandatangani perjanjian ‘Optional Purchase Arrangement’ bagi menyertai pelan peruntukan vaksin Covid-19 vaccine global access (Covax).

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin berkata, Jemaah Menteri pada 14 Oktober lalu bersetuju Malaysia menyertai fasiliti Covax, yang bakal memberi jaminan bekalan vaksin untuk 10 peratus populasi negara ini.

Memetik laporan Bernama, menurut Khairy, Jemaah Menteri juga bersetuju agar KKM mewakili kerajaan bagi memuktamadkan perjanjian penyertaan Malaysia ke dalam Covax bersama GAVI, dan Jabatan Peguam Negara ditugaskan untuk menyemak terma serta syarat perjanjian ditetapkan.

“Keputusan untuk Malaysia menyertai fasiliti ini akan melibatkan kos yang merangkumi bayaran pendahuluan dan ‘risk sharing guarantee’ berjumlah US$22,656,200.00 atau secara anggarannya RM94.08 juta,” katanya pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Lim Guan Eng (PH-Bagan) yang ingin tahu sama ada Malaysia menyertai inisatif Covax disokong oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), yang membolehkan 20 peratus daripada penduduk sesebuah negara menerima dos vaksin Covid-19 dengan vaksin dihantar sebaik sahaja tersedia dan membantu membina semula ekonomi, serta kos penyertaannya.

Khairy berkata, jaminan akses awal bekalan vaksin Covid-19 penting untuk melindungi rakyat daripada penularan wabak itu, seterusnya membantu merancakkan ekonomi negara apabila vaksinasi dijadikan syarat untuk pergerakan dan perhubungan di peringkat global.

Penyertaan Malaysia dalam fasiliti Covax adalah pendekatan pelbagai hala yang bakal membuka ruang untuk negara mempelbagaikan pilihan, serta mengurangkan risiko daripada memberi tumpuan kepada kaedah bilateral sahaja dalam pemerolehan vaksin Covid-19. – Malaysiapost

Foto Kredit: MOSTI

Komen