LHDN: Rayuan Najib, 2 anak disebut bersama di Mahkamah Rayuan

LHDN: Rayuan Najib, 2 anak disebut bersama di Mahkamah Rayuan

DATUK Seri Najib Razak dan dua anak lelakinya merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membenarkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mendapatkan penghakiman terus dalam kes saman tunggakan cukai pendapatan keseluruhan berjumlah RM1.74 bilion.

Pengurusan kes bagi rayuan itu, akan disebut bersama-sama pada 16 Disember ini melalui prosiding e-review di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan Mohd Khairi Haron.

Najib, 67, membabitkan tunggakan cukai berjumlah RM1.69 bilion, Datuk Mohd Nazifuddin, 37, berjumlah RM37.6 juta dan Datuk Mohd Nizar, 42, membabitkan jumlah RM13.16 juta.

Pada 22 Julai lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan penghakiman terus (tanpa perlu dibicarakan) apabila bekas Perdana Menteri itu perlu membayar tunggakan cukai pendapatan tambahan berjumlah RM1.69 bilion kepada Kerajaan Malaysia dalam kes saman LHDN terhadap Ahli Parlimen Pekan itu.

Kosmo melaporkan, keputusan dibuat, selepas mendapati jumlah tunggakan berkenaan perlu dikenakan dan dibayar oleh Najib sebagai hutang kepada kerajaan.

Ia juga memutuskan bahawa mengikut Seksyen 106(3) Akta Cukai Pendapatan, mahkamah tidak boleh memenuhi permohonan Najib selaku defendan untuk mendengar rayuan bagi jumlah tunggakan yang dipertikaikan itu.

Bagaimanapun, Najib masih boleh mengemukakan rayuan berhubung jumlah yang dipertikaikan itu kepada Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan (SCIT).

Pada 6 Julai lalu, Mahkamah Tinggi turut membuat keputusan sama dalam kes saman LHDN terhadap Mohd Nazifuddin, selepas mendapati LHDN berjaya menunjukkan kes yang jelas, sebaliknya pembelaan defendan tidak bermerit.

Pada 25 September pula, Mahkamah Tinggi Shah Alam membenarkan penghakiman terus LHDN dalam kes saman tunggakan cukai pendapatan terhadap Mohd Nizar.

Mahkamah membuat keputusan itu selepas mendapati tiada isu yang boleh dibicarakan dan tuntutan LHDN terhadap plaintif tidak terikat oleh tempoh masa, selain mengikut undang-undang seseorang individu yang mempunyai tunggakan perlu membuat bayaran terlebih dulu sebelum mengemukakan rayuan kepada SCIT. – Malaysiapost

Komen