Mapim cadang Menteri Agama dilantik oleh Raja, bukan PM

Mapim cadang Menteri Agama dilantik oleh Raja, bukan PM

MAJLIS Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) mencadangkan jawatan Menteri Hal Ehwal Islam di Jabatan Perdana Menteri dilantik oleh Majlis Raja-raja Melayu, bukan Perdana Menteri.

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid, berkata usul mengenai perkara itu dibuat memandangkan prinsip urusan agama Islam tidak harus terikat kepada parti politik.

Katanya, proses menyahkan kepentingan politik kepartian dalam urusan agama Islam bertepatan dengan landasan perlembagaan bahawa Islam adalah di bawah bidang kuasa Raja.

“Kami mengambil perkiraan bahawa sememangnya politik dan Islam tidak boleh dipisahkan akan tetapi politik kepartian telah banyak merosakkan integriti Islam akibat ahli politik sering mengutamakan parti dari Islam yang sepatutnya dipertahankan.

“Lebih buruk ialah apabila ahli parti politik menggunakan Islam untuk mempertahankan partinya dan kedudukannya.

“Kami berpendirian kesucian Islam dalam konteks negara demokrasi berparlimen dan Raja berpelembagaan mesti dipelihara.

” Kami berpandangan urusan Islam harus bebas dari kepentingan parti politik untuk memastikan kesucian dan martabat Islam tidak dicemari oleh pergelutan parti,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Azmi berkata, oleh kerana bidang kuasa agama Islam berada dibawah kuasa Raja-raja Melayu maka Menteri Hal Ehwal Agama Islam lebih wajar dipertanggungjawab langsung kepada Majlis Raja-raja Melayu.

Katanya, mekanisme dan fungsi Menteri yang dipilih oleh Majlis Raja-raja Melayu boleh ditetapkan berdasarkan peruntukan Perlembagaan.

“Rasional saranan ini berdasarkan status Islam dalam Perlembagaan Persekutuan yang perlu dipelihara agar tidak dijadikan perdebatan politik kepartian.

“Kami berpendapat agama Islam perlu diletak di atas kepentingan politik dan sebarang perbahasan mengenainya tidak terikat dengan kepentingan politik kepartian,” katanya.

Beliau berkata, Menteri berkenaan harus bertanggungjawab kepada Majlis Raja-raja Melayu supaya sebarang dasar dan keputusan tidak terikat dengan kepentingan politik kepartian.

“Mereka yang mahu mengutarakan sebarang pandangan berkaitan dengan Islam hendaklah dibentangkan kepada sebuah forum khas yang diuruskan oleh Menteri dan dipanjangkan kepada Majlis Raja-raja,” katanya -Malaysiapost

Foto Kredit: NSTP

Komen