Permohonan pinda tuduhan kes rasuah Guan Eng ditangguh 21 Disember

Permohonan pinda tuduhan kes rasuah Guan Eng ditangguh 21 Disember

PERMOHONAN pendakwaan untuk meminda dua daripada empat tuduhan kes rasuah bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng ditangguhkan pada 21 Disember ini.

Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin, berkata pihaknya diberitahu mengenai tarikh baharu itu oleh Mahkamah Sesyen menerusi e-emel pada 9 November lalu.

Beliau berkata, prosiding yang dijadualkan hari ini tidak dapat dijalankan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor, Wilayah Persekutuan dan Putrajaya yang dilanjutkan sehingga 6 Disember ini.

Justeru, menerusi laporan BH beliau berkata, pendakwaan akan mengemukakan permohonan pindaan berkenaan pada tarikh baharu yang ditetapkan itu.

Dalam prosiding lalu, pendakwaan memaklumkan bahawa ia akan meminda dua daripada empat tuduhan ke atas Guan Eng berhubung pembinaan terowong dasar laut dan projek pembinaan jalan utama.

Pada 7 Ogos lalu, Guan Eng, 60, didakwa sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang, secara rasuah meminta bagi dirinya suatu suapan, iaitu balasan berharga berupa 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh kelak daripada Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli yang juga Pengarah Consortium Zenith Construction Sdn Bhd.

Suapan itu adalah sebagai upah, bagi melakukan suatu perkara yang dicadangkan, iaitu membantu syarikat Zarul Ahmad dilantik untuk melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang.

Pada 10 Ogos lalu pula, Guan Eng didakwa di Mahkamah Sesyen Butterworth atas tuduhan menggunakan kedudukannya sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang untuk suapan bagi dirinya wang berjumlah RM3.3 juta, sebagai tindakan membantu syarikat milik Zarul Ahmad dilantik untuk melaksanakan projek itu yang bernilai RM6.3 bilion.

Pada 11 September pula, Ahli Parlimen Bagan itu sekali lagi didakwa atas dua tuduhan menyebabkan dua lot tanah milik kerajaan negeri Pulau Pinang yang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di negeri itu. -Malaysiapost

Komen