PGA rampas rokok seludup bernilai lebih RM190,000

PGA rampas rokok seludup bernilai lebih RM190,000

Muhammad Mustakim Ramli

BATALION 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas lebih 400,000 batang rokok seludup dengan nilai lebih RM190,000 di Kajang dan Cheras, semalam.

Dalam operasi di tiga lokasi serbuan itu, lima lelaki dipercayai anggota sindiket penyeludupan rokok seludup turut ditahan.

Pegawai Pemerintah Batalion 4 PGA, Superintendan Rizal Mohamed berkata, serbuan pertama menahan dua lelaki yang menjual rokok seludup di gerai pada jam 4.30 petang.

“Susulan tangkapan suspek membawa kepada serbuan seterusnya iaitu dua rumah yang dijadikan stor penyimpanan rokok seludup.

“Polis menahan tiga lagi lelaki di dua rumah berkenaan dipercayai terbabit dengan aktiviti penjualan dan pengedaran rokok seludup,” katanya dalam kenyataan.

“Polis menahan tiga lagi lelaki di dua rumah berkenaan dipercayai terbabit dengan aktiviti penjualan dan pengedaran rokok seludup,” katanya dalam kenyataan.

Rizal berkata, hasil pemeriksaan, polis menemui 445,040 batang rokok bernilai RM194,671 dipercayai untuk tujuan jualan.

“Polis turut merampas enam telefon pintar dan wang tunai RM7,997 serta tiga kenderaan pelbagai jenis.

“Semua suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang untuk siasatan lanjut mengikut Akta Kastam 1967,” katanya. – Malaysiapost

Foto Kredit: ihsan PGA

Komen