Tegur bunyikan radio, lelaki cedera ditikam

Tegur bunyikan radio, lelaki cedera ditikam

SEORANG Lelaki cedera ditikam dengan pisau hanya kerana menegur seorang pemuda yang membunyikan radio di kawasan Pelabuhan Sepanggar, Kota Kinabalu, semalam.

Kejadian berlaku kira-kira jam 2 pagi yang menyebabkan mangsa, 27, yang bekerja sebagai pembantu perkapalan cedera di belakang bahu kiri.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, siasatan awal mendapati ketika kejadian mangsa sedang melepak bersama lima rakannya di kawasan berkenaan.

Katanya, seorang daripada rakan mangsa kemudian mempelawa suspek berusia 20-an yang ketika itu berada di sebuah kapal untuk lepak bersama.

“Suspek kemudian datang dengan membawa radio yang dipasang lagu. Mangsa menegur suspek supaya tidak memainkan radio itu kerana bunyi bising.

“Suspek kemudian naik semula ke atas kapal dan tidak lama selepas itu kembali semula dan terus menikam mangsa menggunakan pisau di bahagian belakang bahu sebelah kiri,” katanya seperti dilapor Harian Metro.

Habibi berkata, mangsa cedera dibawa ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak (HWKKS) Sabah oleh rakannya, manakala suspek melarikan diri.

“Akibat kecederaan itu, mangsa menerima enam jahitan dan usaha mengesan suspek giat dijalankan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” katanya. -Malaysiapost

Gambar sekadar hiasan

Komen