Tubuh jawatan kuasa khas tangani babi hutan

Tubuh jawatan kuasa khas tangani babi hutan

KERAJAAN Melaka dicadang menubuhkan jawatan kuasa khas bagi menangani masalah haiwan perosak terutamanya babi hutan yang semakin meruncing di negeri itu.

Exco Pertanian, Penternakan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Norhizam Hassan Baktee, berkata penubuhan jawatankuasa itu sebagai langkah serius Melaka berdepan isu tersebut yang mendapat aduan tinggi daripada orang ramai.

Katanya, bagi tempoh sebulan pertama tahun ini sahaja Jabatan Perhilitan menerima sebanyak 130 aduan orang awam terhadap kes babi hutan yang direkodkan bermula Januari hingga Oktober lalu.

“Setakat ini, sebanyak 1,016 ekor babi ditangkap dalam Operasi Hapus Babi Hutan (Ops Siong) dan daripada jumlah itu Daerah Melaka Tengah mencatatkan jumlah tertinggi sebanyak 484 ekor diikuti Jasin (341) dan Alor Gajah (191).

“Contohnya di Sungai Rambai, kita terima banyak aduan daripada peladang dan pekebun yang menanam pisang, walaupun operasi ini tidak dapat diselesaikan secara total namun dapat kurangkan nisbah populasinya,” katanya seperti dilapor Utusan Malaysia.

Norhizam berkata, bertepatan dengan jawatankuasa itu, Jabatan Perhilitan sebagai urusetia akan bergerak dengan agensi berkaitan seperti Persatuan Penembak Negeri Melaka, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) menerusi operasi besar-besaran.

“Kita akan mempromosikan kempen menghapuskan hidupan liar tersebut dan operasi bersepadu ini juga akan mendapat kelulusan pihak polis,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata bagi merealisasikan operasi bersepadu itu, pihaknya memerlukan peruntukan kira-kira RM941,000 termasuk membeli 100 unit perangkap babi hutan, peluru, peralatan pengurusan, umpan penangkap selain perangkap kera dan perangkap ular yang menelan kos dari RM600 hingga RM1,800 seunit.

“Kita akan memohon kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali untuk membantu dari segi kos operasi bagi merealisasikan jawatankuasa khas ini,” katanya. -Malaysiapost

Komen