Henti ugut penjawat awam tak dapat gaji – Tun M

Henti ugut penjawat awam tak dapat gaji – Tun M

Nurul Huda Abhar

BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad membidas tindakan mengugut Ahli Parlimen untuk menyokong Belanjawan 2021 kerana ia tidak sepatutnya berlaku.

Menurutnya, alasan jika Belanjawan 2021 ditolak maka penjawat awam dan kakitangan barisan hadapan tidak akan menerima gaji, pencen dan elaun tidak boleh digunapakai.

“Ini tidak benar sama sekali. Semasa saya Perdana Menteri pada 1999, Belanjawan 2000 yang dibentangkan dalam bulan Oktober tidak diteruskan perbahasannya kerana Parlimen dibubar pada November tahun tersebut untuk Pilihan Raya Umum (PRU) ke-10 diadakan.

“Setelah pilihan raya selesai, kerajaan dengan mandat baharu telah mendapat kelulusan Dewan Rakyat untuk peruntukan awal bagi perbelanjaan kerajaan untuk dua atau tiga bulan, sementara menunggu Persidangan Khas Belanjawan diadakan pada Februari 2000,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahli Parlimen Langkawi berkata, peruntukan awal perlu dilaksana bagi memastikan perbelanjaan pentadbiran tidak terganggu dan gaji, pencen serta elaun penjawat awam tidak terjejas.

Katanya, peruntukan yang dinyatakan termasuk pembayaran untuk peruntukan-peruntukan tambahan yang lain, sama ada untuk kementerian atau untuk memudahkan kehidupan rakyat.

Dr Mahathir berkata, Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz dan pemimpin yang lain bersikap tidak bertanggungjawab dengan mengeluarkan kenyataan berbaur ugutan yang bertujuan menekan Ahli Parlimen untuk meluluskan Belanjawan 2021.

“Kenyataan itu secara langsung bertujuan mengekang ahli-ahli Parlimen dari melaksanakan tanggungjawab untuk memastikan belanjawan itu adalah untuk kepentingan rakyat dan bukan kepentingan politik parti yang memerintah.

“Berdasarkan kenyataan Menteri Kewangan dan pemimpin kerajaan yang lain, jika belanjawan itu ditolak, rakyat dan penjawat awam akan menderita akibat dari sikap ahli-ahli Parlimen yang menolak Belanjawan 2021.

Justeru, beliau berkata jika pendekatan ugutan diambil kerajaan, maka ia seperti barisan Ahli Parlimen perlu memberi ‘blank cheque’ dan menyokong terus belanjawan walaupun terdapat kecacatan yang nyata.

“Saya berharap Menteri Kewangan dan pemimpin kerajaan yang di dalam keresahan kehilangan kuasa berhenti dari mengeluar kenyataan tidak berasas, yang menakut-nakutkan rakyat semata-mata untuk kelangsungan politik mereka,” ujarnya lagi.

Sebelum ini, Tengku Zafrul dilaporkan berkata kerajaan tidak akan dapat membayar segala komitmen termasuk pembayaran gaji penjawat awam dan petugas barisan hadapan yang bertungkus-lumus memerangi Covid-19 sekiranya Belanjawan 2021 tidak diluluskan di Dewan Rakyat.

Bagaimanapun, beliau optimis belanjawan melibatkan perbelanjaan pengurusan dan pembangunan yang memfokuskan kepada usaha membantu rakyat dan pemulihan perniagaan serta ekonomi negara itu akan diluluskan. – Malaysiapost

Komen