Menteri perlu jawab isu projek KVDT2 diberi pada ‘syarikat China’

Menteri perlu jawab isu projek KVDT2 diberi pada ‘syarikat China’

AHLI Parlimen Seremban, Anthony Loke menggesa Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong menjawab persoalan berhubung penyerahan sub kontrak kepada sebuah ‘syarikat China’.

Soalan tersebut adalah daripada Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Dhaya Maju-LTAT (DM-LTAT), Datuk Mohamed Razeek Hussain.

Loke yang membaca afidavit difailkan Mohamed Razeek pada 27 Oktober lalu bagi menyokong injunksi memberhentikan pembatalan itu berkata, kontrak syarikat Dhaya Maju dibatalkan kerana tidak memenuhi permintaan Menteri Pengangkutan.

“Ini merupakan tuduhan yang sangat serius terhadap Menteri Pengangkutan sekarang. Ini bukan surat layang, bukan tuduhan melalui WhatsApp tetapi afidavit bersumpah difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

“Apakah benar kontrak syarikat ini dibatalkan kerana syarikat tersebut tidak memenuhi permintaan Menteri Pengangkutan,” katanya ketika perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 di Dewan Rakyat.

Menurut Loke, jika tuduhan seperti itu dilemparkan terhadap menteri daripada DAP atau ketika beliau Menteri Pengangkutan, sudah tentu akan dilabel menjual kepentingan kepada China dan “memangsakan” kontraktor Bumiputera.

“Keputusan pembatalan yang tidak berasas ini akan menyebabkan 8,512 pekerja hilang pekerjaan dan memberi kesan negatif kepada 261 syarikat pembekal dan sub kontraktor yang kebanyakannya terdiri daripada syarikat Bumiputera,” katanya.

Beliau meminta Tan Sri Muhyiddin Yassin menyiasat perkara itu secara mendalam dan mengambil tindakan sewajarnya, memandangkan Perdana Menteri bersama beberapa menteri sekarang ini membuat keputusan meneruskan projek berkenaan dalam Kabinet Pakatan Harapan (PH).

Projek itu mendapat perhatian selepas Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz mendedahkan 101 kontrak yang dikatakan dibuat melalui proses rundingan terus bawah pentadbiran kerajaan PH.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 25 September lalu diberitahu kerajaan sudah mengeluarkan surat penamatan kepada Dhaya Maju LTAT Sdn Bhd, berkaitan 1 kontrak bagi projek Fasa 2 Landasan Berkembar Lembah Klang (KVDT2).

Projek KVDT2 dihentikan selepas kerajaan PH tumbang pada Februari lalu walaupun syarikat itu sudah menyiapkan 24 peratus projek dan kerajaan telah membuat pembayaran progresif lebih RM93 juta. – Malaysiapost

Komen