Pemimpin Umany lapor polis, dakwa diugut bunuh, rogol

Pemimpin Umany lapor polis, dakwa diugut bunuh, rogol

DUA pemimpin Persatuan Belia Baru Universiti Malaya (Umany) hari ini membuat laporan polis selepas mendakwa menerima ugutan bunuh sejak tiga hari lalu.

Ugutan tersebut didakwa berlaku selepas Umany memuatnaik hantaran di Facebook yang mempunyai kaitan dengan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Namun begitu, hantaran tersebut telah dipadam dan permohonan maaf dibuat selepas itu.

Presiden Umany, Robin Yap Wen Qing dan timbalannya, Tan Li Yuan membuat laporan itu susulan dakwaan menerima ugutan melalui panggilan telefon dan pesanan teks itu mula diterima pada Rabu lalu.

Wen Qing berkata, sebahagian pesanan itu melibatkan ugutan bunuh mereka dan keluarga termasuk untuk membaling asid dan merogol anggota perempuan persatuan.

“Kami bimbang kerana individu terbabit menyalahgunakan data peribadi untuk mengganggu kami,” katanya.

Selain itu, katanya, ugutan yang diterima selepas hantaran tersebut dimuat naik menyebabkan minda mereka tertekan.

Menurut Wen Qing, sembilan anggota Umany termasuk dirinya dan Li Yuan menerima ugutan tersebut.

“Seorang anggota kami telah membuat laporan polis berhubung perkara ini di kampungnya. Hari ini kami berdua melakukannya di sini,” katanya.

Peguamnya, Kuhan Manokaran berharap polis akan menyiasat ugutan tersebut dengan serius.

“Pihak polis kelihatan bersungguh-sungguh ketika menyiasat kenyataan Umany di Facebook sebelum ini. Saya berharap mereka juga akan meneliti ugutan bunuh ini dengan serius,” katanya.

Sebelum ini, polis menyiasat beberapa pemimpin Umnay berhubung kenyataan di media sosial bertajuk “Yang Di-Pertuan Agong should not intervene in national affairs” kerana menghasut dan kesalahan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia.

Wen Qing dan Li Yuan dipanggil bagi membantu siasatan awal minggu ini.

Kumpulan undang-undang dan hak asasi manusia mempertahankan Umany dan pemimpinnya dengan berkata, tindakan polis tidak adil.

Turut hadir bersama kumpulan pelajar itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya ialah bekas presiden Umany, Wong Yan Ke, yang sebelum ini didakwa ingkar arahan polis supaya menghentikan penyiaran rakaman serbuan polis di rumah Wen Qing menerusi Facebook. – Malaysiapost

Komen