3,030 bayi, kanak-kanak dijangkiti Covid-19 di Sabah

3,030 bayi, kanak-kanak dijangkiti Covid-19 di Sabah

SEJUMLAH 3,030 bayi dan kanak-kanak di bawah 12 tahun di Sabah telah dijangkiti Covid-19 setakat ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata daripada jumlah itu, 191 adalah bayi di bawah umur setahun, 1,241 kanak-kanak berusia kurang lima tahun dan 1,598 lagi kanak-kanak bawah 12 tahun.

Beliau berkata, bilangan kes yang mewakili bayi dan kanak-kanak itu menyumbang kepada 12.15 peratus kes positif Covid-19 yang dilaporkan di Sabah.

Untuk golongan kanak-kanak itu, katanya, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) turut memberi sokongan dalam bentuk Psycological First Aid (PFA) melalui Pasukan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial (MHPSS).

“Kanak-kanak yang berada di pusat rawatan turut diberikan PFA kit yang mengandungi buku dan alat tulis.

“Aktiviti PFA untuk kanak-kanak termasuk terapi seni, terapi muzik dan tarian serta aktiviti bercerita. Setakat ini 977 set PFA kit telah diedarkan,” katanya seperti dilaporkan Borneo Today.

Masidi menambah, PFA turut diberi kepada penjaga agar mereka dapat memberi maklumat terus kepada MHPSS jika terdapat masalah kesihatan mental dalam kalangan anak jagaan mereka.

Ini kerana, katanya, kanak-kanak mungkin menghadapi tekanan termasuk stigma daripada persekitaran.

“Oleh itu, penjaga dinasihatkan sentiasa memantau keadaan kesihatan mental anak-anak dan terus merujuk kepada MHPSS jika memerlukan intervensi.

“Namun, setakat ini tiada kanak-kanak yang memerlukan intervensi lanjutan yang perlu dirujuk kepada pakar psikiatri,” jelasnya. – Malaysiapost

Komen