AELM: Visi Pasca 2020 manfaat Malaysia, kukuh hubungan perniagaan

AELM: Visi Pasca 2020 manfaat Malaysia, kukuh hubungan perniagaan

BIRO Antarabangsa Pemuda Umno berharap Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC (AELM) akan memperoleh kata sepakat untuk merumuskan Visi Pasca 2020 yang bakal menggantikan Matlamat Bogor.

Pengerusinya, Ikmal Hazlan Ikmal Hisham, berkata melalui visi itu, Malaysia bakal memperoleh manfaat dan dapat mengukuhkan lagi hubungan perniagaannya dengan negara anggota APEC.

“Visi ini juga akan mendokong Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) yang telah ditandatangani Malaysia tempoh hari.

“Selain itu, ia akan memangkin ekonomi digital negara dan mencipta lebih banyak peluang pekerjaan untuk rakyat,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Ikmal Hazlan berkata di bawah falsafah ‘Perkongsian Kemakmuran’, visi itu turut memberi tumpuan untuk membuka lebih banyak ruang pembangunan lebih insklusif agar dinikmati segenap masyarakat di dalam komuniti Asia Pasifik.

Katanya, visi APEC Pasca 2020 dirangka dengan memberi tumpuan kepada;

1) Menambahbaik Naratif Perdagangan dan Pelaburan,

2) Penyertaan Ekonomi Yang Inklusif melalui Digital Ekonomi dan Teknologi dan

3) Memacu Kelestarian Inovatif dijangka membentuk struktur ekonomi lebih mampan dan meningkatkan kelestarian fiskal lebih berdaya tahan untuk jangka panjang.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Malaysia atas usaha dan komitmen penuh dalam merangka Visi APEC Pasca 2020 serta melakar sejarah baharu menjadi negara pertama menganjurkan persidangan itu secara maya. – Malaysiapost

Komen