Arak: DBKL tinjau garis panduan negara lain

Arak: DBKL tinjau garis panduan negara lain

GARIS panduan baharu Lesen Minuman Keras (LMK) dikeluarkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bukan sesuatu yang bhaaru kerana peraturan itu telah diperkenal di pelbagai negara, termasuk di Eropah.

Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa berkata DBKL telah meninjau di negara-negara lain di samping mengkaji sistem di Singapura sebelum memperkenalkan garis panduan tersebut di ibu kota.

“Kita juga lihat peraturan dipakai di negara lain termasuk Eropah di mana pembelian minuman keras memang sangat dikawal dari segi waktu dan lesen tempat yang boleh dijual. Oleh itu isu ini tiada kena-mengena dengan isu agama mahupun perkauman,” katanya seperti dilaporkan Bernama.

Beliau berkata demikian selepas penyampaian sumbangan kepada persatuan penduduk Kuala Lumpur di bawah program Wilayah Cakna 3.0 yang turut dihadiri Timbalannya, Dr Santhara Kumar.

Annuar menegaskan garis panduan itu bertujuan mengawal penjualan arak secara terbuka dan bebas di ibu negara selepas menerima pelbagai aduan daripada orang awam, termasuk penjualan arak kepada golongan bawah umur dan pelajar sekolah.

Pada 16 November lalu, DBKL memperkenalkan garis panduan baharu mengenai lesen minuman keras yang antara lain menetapkan kedai runcit dan serbaneka tidak lagi dibenar menjual produk minuman keras (liquor) mulai 1 Oktober tahun depan.

Sementara itu, Annuar berkata kementeriannya memperuntukkan RM39.75 juta bagi melaksanakan inisiatif Wilayah Cakna 3.0 untuk warga kota yang terkesan oleh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). – Malaysiapost

Komen