Bawang besar dari India naik harga kerana musim tengkujuh, banjir

Bawang besar dari India naik harga kerana musim tengkujuh, banjir

KENAIKAN harga bawang besar dari India tidak dapat dielak kerana impor berkurangan ketika ini akibat musim tengkujuh dan banjir di negara berkenaan.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata pengguna perlu bersabar, dan menggunakan bawang dari beberapa negara seperti Thailand, Pakistan, China, Belanda, Myanmar serta Indonesia sebagai alternatif.

Bekalan bawang dari negara-negara tersebut, katanya, mencukupi dan harganya masih kekal sama.

“Bagaimanapun, saya dapati pengguna di negara ini lebih gemar menggunakan bawang yang diimport dari India kerana ia mempunyai rasa yang tersendiri berbanding bawang yang dibekalkan negara lain,” katanya seperti dilaporkan Bernama.

Beliau berkata demikian kepada media selepas melawat kilang pengeluar telur ayam Teo Seng Capital Berhad di Yong Peng hari ini.

Mengulas lanjut, Rosol berkata, kementeriannya akan terus mencari dan mendapatkan sumber bekalan bawang dari negara-negara pengimport lain bagi memenuhi permintaan pengguna.

Dalam pada itu, beliau memberi jaminan bekalan bahan makanan mencukupi ketika ini dan membenarkan pihak pemborong menyediakan bekalan makanan serta keperluan asas melebihi 30 peratus daripada kuota bekalan biasa semasa musim tengkujuh. – Malaysiapost

Komen