Covid-19: Bekas pesakit kebal untuk 6 bulan

Covid-19: Bekas pesakit kebal untuk 6 bulan

BEKAS pesakit Covid-19 tidak mungkin dijangkiti kembali virus itu untuk tempoh sekurang-kurangnya enam bulan, menurut penyelidik dari Universiti Oxford.

Penemuan itu diperoleh daripada kajian berskala besar terhadap jangkitan semula Covid-19 melalui pemerhatian profesional perkhidmatan penjagaan kesihatan yang mana didapati jangkitan berulang agak jarang berlaku.

Seorang penyelidik yang terbabit dalam kajian itu, Profesor David Eyre menyatakan penemuan itu ‘satu berita baik’.

“Kami yakin untuk jangka masa pendek kebanyakan mereka yang dijangkiti Covid-19 tidak akan dijangkiti semula,” katanya memetik dari laporan AFP.

Kumpulan penyelidik itu menjelaskan mereka masih mengumpulkan data sebelum merumuskan jangkitan semula selepas enam bulan.

Bagaimanapun, kajian yang sedang dijalankan itu pada akhirnya mahu mengesahkan tempoh masa perlindungan daripada jangkitan semula secara total.

Pengarah kajian pencegahan dan kawalan jangkitan Hospital Universiti Oxford (OUH), Katie Jeffery, beranggapan penemuan kajian itu “menarik.”

“Ia menunjukkan jangkitan virus itu memberikan setidaknya perlindungan jangka pendek daripada jangkitan ulangan”, katanya.

Syarikat bioteknologi Amerika Syarikat, Moderna mengumumkan minggu ini, vaksin mereka menunjukkan keputusan hampir 95 peratus dalam ujian percubaan seminggu selepas pengumuman dibuat syarikat gergasi farmasuetikal, Pfizer dan BioNTech.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyambut baik kajian itu dan menyifatkannya satu penemuan yang memperluas pemahaman mengenai perlindungan Covid-19.

“Kami benar-benar memuji usaha penyelidik untuk melakukan kajian itu,” kata Pengarah Kecemasan WHO, Michael Ryan kepada wartawan di Geneva dan memberitahu penemuan itu memberikan “data terbaik.”

Ryan berkata tindak balas antibodi yang diperincikan dalam penyelidikan itu memberikan “harapan untuk perlindungan lebih lama” kepada calon vaksin yang sedang dibangunkan.

Kajian Oxford mengenai jangkitan semula menggunakan data ujian Covid-19 biasa daripada 12,180 pekerja penjagaan kesihatan di OUH selama 30 minggu.

Kajian mendapati tidak ada seorang pun daripada 1,246 kakitangan dengan antibodi Covid-19 yang mengalami jangkitan simptomatik.

Tiga kakitangan dengan antibodi yang positif Covid-19 didapati sihat dan tidak mengalami sebarang gejala.

WHO mengatakan pertubuhan itu kini bekerjasama dengan 50 negara berhubung tindak balas antibodi dalam kumpulan yang berbeza, seperti kumpulan populasi umum atau dalam kalangan pekerja penjagaan kesihatan.

Badan kesihatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu turut mengumpulkan hasil kajian berkenaan untuk mendapatkan gambaran yang lebih luas mengenai bagaimana pandemik itu boleh menular. – Malaysiapost

Komen