Kota Tinggi, Mersing kekal PKPB akibat kluster baharu rentas daerah

Kota Tinggi, Mersing kekal PKPB akibat kluster baharu rentas daerah

PELAKSANAAN Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Kota Tinggi dan Mersing, Johor Bahru diteruskan kerana wujud kluster baharu yang dikenal pasti akibat kes merentas daerah.

Kluster Makmur menjadi kluster baharu yang dilaporkan, meskipun pelaksanaan PKPB diisytiharkan tamat lebih awal di negeri berkenaan hari ini, lebih awal daripada tarikh asal pada 6 Disember depan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R Vidyananthan, berkata kluster terbaharu ini membabitkan Kulai dan Johor Bahru.

Katanya, kes indeks dikesan positif Covid-19 hasil saringan individu bergejala pada 19 November lalu.

“Susulan itu, pengesanan dan saringan kontak dijalankan. Sehingga semalam, 68 individu disaring dengan enam kes dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini.

“Kesemua kes dimasukkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang.

“Sehingga semalam, terdapat lapan kluster Covid-19 masih aktif di negeri ini, iaitu Kluster Makmur, Kiambang, Parit Kassan, Jeri, Meldrum, Bayu, Kempas dan Padang,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Vidyananthan berkata, seperti diumumkan Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Kota Tinggi dan Mersing masih dikenakan PKPB kerana kedua-dua daerah terbabit melaporkan kluster baharu yang merentas daerah akibat pergerakan sosial meluas.

“PKPB yang dikenakan akan membantu agensi terbabit menjalankan kawalan secara efektif dan dapat mengekang penularan ke luar daerah.

“Peningkatan kes dilaporkan hingga kini, masih lagi disebabkan pencarian kes secara aktif dan aktiviti survelan dipertingkatkan Jabatan Kesihatan Negeri untuk mengekang penularan,” katanya. -Malaysiapost

Komen