Ops Selat: Tiga termasuk pegawai kanan imigresen dicekup

SEORANG pegawai kanan dan dua anggota Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) ditahan berhubung kes sindiket rasuah dalam urusan cap palsu di pintu masuk antarabangsa negara menerusi Ops Selat, semalam.

Pegawai kanan gred KP48 itu bertugas di JIM Putrajaya manakala dua lagi anggota bertugas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2).

“Proses permohonan reman sedang dimohon hari ini bagi membantu siasatan.

“Siasatan sedang dijalankan selepas mereka dipercayai ahli sindiket yang berjaya ditahan SPRM,” kata sumber seperti dilaporkan Harian Metro, hari ini.

Sindiket itu dipercayai membabitkan rangkaian aktiviti jenayah penyeludupan antarabangsa khusus dari China, Vietnam, Indonesia dan Bangladesh.

Setakat ini, 50 individu ditahan dalam Ops Selat membabitkan 28 pegawai imigresen, 17 ejen pekerja asing dan lima orang awam.

Lebih RM800,000 wang tunai, 26 kereta mewah dan empat motosikal berkuasa tinggi sudah dirampas ia ini tidak termasuk rumah, tanah, barangan kemas dan sebagainya.

SPRM sebelum ini mendedahkan lebih 30,000 warga asing bolos dan RM14.5 juta wang sogokan diberikan kepada kakitangan JIM dalam tempoh empat tahun.

Angka itu diperoleh hasil penahanan 27 pegawai JIM yang mendedahkan aktiviti rasuah menerusi proses ‘setting’ kaunter sejak 2017. – Malaysiapost

Komen