Covid-19: 1,096 kes baharu, 3 kematian hari ini

Covid-19: 1,096 kes baharu, 3 kematian hari ini

Nilam Oshman

JUMLAH kes baharu positif Covid-19 hari ini mencatatkan 1,096 kes membabitkan 1,090 kes tempatan dan enam kes import.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata jumlah itu menjadikan kes positif di Malaysia kini 54,775 dengan kes aktif sebanyak 12,843 sehingga jam 12 tengah hari tadi.

Menurutnya, dua negeri yang mencatatkan kes tertinggi pada hari ini adalah Selangor iaitu 603 kes, diikuti Sabah dengan 311 kes.

“Sebanyak 72 kes yang dilaporkan hari ini adalah berkaitan kluster-kluster di Pusat Tahanan Sementara (PTS) dan penjara yang membabitkan Kluster Tembok (42 kes), Kluster Bakti (16 kes), Kluster Rumah Merah (4 kes) dan Kluster Penjara Sandakan (4 kes).

“Kluster Penjara Seberang Perai (2 kes), Kluster Penjara Reman (2 kes) dan Kluster Penjara Kepayan serta Matambai masing-masing satu kes,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham memaklumkan terdapat 106 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 46 kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Terdapat pertambahan tiga kes kematian melibatkan warganegara, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia adalah 335 kes,” katanya. – Malaysiapost

Komen