Cuaca faktor fenomena siput terdampar di Rusila

Cuaca faktor fenomena siput terdampar di Rusila

CUACA tidak menentu serta perubahan oseanografi menjadi antara faktor mendorong fenomena siput laut terdampar di Pantai Rusila dekat Kampung Rhu Dua di Marang, beberapa hari lalu.

Pensyarah Kanan dan Ahli Malakologi Fakulti Sains dan Sekitaran Marin, Universiti Malaysia Terengganu, Dr Nursalwa Baharuddin berkata ombak kuat terhasil akibat Monsun Timur Laut menyebabkan pergolakan air dari atas ke bawah.

“Fenomena ini membolehkan siput-siput dewasa berkumpul supaya dapat meningkatkan pembiakan dan kemandirian dalam populasinya.

“Selain itu, generasi yang berdaya tahan akan dihasilkan untuk kembali ke habitatnya. Melalui fenomena ini juga, siput ini dapat menjelajah kawasan baharu untuk mencari sumber makanan,” katanya seperti dilaporkan Bernama hari ini.

Semalam, Bernama melaporkan pantai itu meriah dikunjungi penduduk setempat berikutan terdapat banyak siput laut yang didakwa muncul semula selepas 50 tahun.

Dr Nursalwa berkata nama saintifik siput itu ialah ‘Margistrombus marginatus’ yang mempunyai saiz berukuran antara empat sentimeter (cm) hingga 8 cm.

“Siput ini kebanyakannya terdapat di Laut Andaman, perairan selatan India, Selat Melaka dan Laut China Selatan, malah kajian kumpulan penyelidik saya di perairan Pulau Bidong pada 2018 juga merekodkan kewujudan spesies tersebut.

“Ia banyak didapati di kawasan yang terdapat rumput laut dan di kawasan bentik iaitu permukaan bawah laut berpasir dan berkelodak.

“Ia ‘muncul’ semula selepas berpuluh tahun disebabkan ombak kuat dan perubahan oseanografi yang berlaku akhir-akhir ini,” katanya.

Ditanya mengenai keghairahan orang ramai untuk menikmati siput tersebut, beliau menasihatkan agar ia direndam dalam air masin semalaman sebelum direbus dan dimasak

Ini katanya, untuk memastikan segala lendir, kekotoran dan pasir dapat diasingkan memandangkan habitat siput itu menduduki kawasan yang berpasir dan berkelodak.

“Siput ini mempunyai protein yang tinggi. Begitu juga kandungan kolesterolnya jika dimakan dalam jumlah yang banyak.

“Kajian di Indonesia oleh pakar nutrisi menasihatkan masyarakat di Kepulauan Riau dan Batam untuk mengehadkan memakan siput ini kepada satu atau dua kali sahaja seminggu dengan kuantiti sedikit, walaupun boleh didapati dengan banyak di perairan mereka,” katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar melepaskan siput bersaiz kecil atau kurang 4 cm dan mengehadkan pengambilannya untuk memberi peluang haiwan kecil itu hidup sekali gus menjamin rantaian makanan ke arah kelestarian ekosistem marin. – Malaysiapost

Komen