Dah lama akar umbi Umno tolak Annuar – Nur Jazlan

Dah lama akar umbi Umno tolak Annuar – Nur Jazlan

Pelantikan Ahmad Maslan isyarat penolakan Annuar

PELANTIKAN Datuk Seri Ahmad Maslan sebagai Setiausaha Agung Umno didakwa isyarat penolakan akar umbi terhadap Tan Sri Annuar Musa.

Timbalan Pengerusi Umno Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed, mendakwa tindakan Ahli Parlimen Ketereh itu yang kerap mempertahankan Bersatu dan menjadi ‘jurucakap’nya membuatkan ahli akar umbi muak.

“Saya dapat rasakan tindakan pengurusan Umno melantik Datuk Seri Ahmad Maslan sebagai Setiausaha Agung Umno menggantikan Annuar sebagai isyarat penolakan pemimpin dan ahli Umno terhadap beliau.

“Namun demi memberi muka dan menjaga maruah Annuar, Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi melantiknya sebagai Setiausaha Agung BN.

“Mungkin pucuk pimpinan parti membuat keputusan berdasarkan suara akar umbi yang jemu dengan tingkah laku Annuar yang mementingkan diri sendiri bagi memastikan tidak berlakunya pertembungan calon di Parlimen Kerereh pada PRU-15,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pergeseran antara Annuar dan Nur Jazlan hangat apabila bekas Ahli Parlimen Pulai itu mengeluarkan kenyataan bahawa Annuar ‘sudah mati’ dalam perjuangan Umno.

Membalas kenyataan itu, Annuar dilaporkan berkata, beliau bersyukur kerana ‘mati’ dalam Umno, malah turut menyindir Nur Jazlan yang kini tiada kerusi Parlimen atau pun Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Setidak-tidaknya saya masih mampu beri satu kerusi Parlimen dan DUN untuk Umno. Ada yang hidup di negeri kuat Umno tapi gagal sumbang kerusi, pedih kan? You ask for it! (Kamu yang minta!),” katanya.

Bagi membalas sindiran itu, Nur Jazlan mempelawa Annuar bertanding di kerusi Pulai jika benar beliau pejuang yang sentiasa boleh membawa kemenangan kepada Umno.

“Saya berbesar hati mempelawa Annuar bertanding di kerusi Parlimen Pulai yang majoritinya 48 peratus pengundi Melayu, 40 peratus Cina dan 12 peratus undi India, barulah dia (Annuar) boleh buktikan dia benar-benar ‘winnable candidate’ atau pejuang kental Umno,” katanya. – Malaysiapost

Komen