Harapan tipis untuk Belanjawan 2021 diluluskan

Harapan tipis untuk Belanjawan 2021 diluluskan

Aiman Hanif

LALUAN sukar untuk Belanjawan 2021 diluluskan di Parlimen, Khamis ini apabila BN masih lagi berkira-kira untuk menyokongnya.

Menurut sumber parti itu, esok satu pertemuan membabitkan ahli Parlimen BN akan berlangsung di Kuala Lumpur bagi membuat keputusan itu.

“Pertemuan akan membincangkan keputusan sama ada untuk menyokong Belanjawan 2021.

“Dijangkakan BN akan menolak belanjawan kali ini dan terdapat cadangan supaya parti itu menarik diri daripada kerajaan,” katanya kepada Malaysiapost.

Khamis ini proses pengundian akan berlaku di Dewan Rakyat dan akan menentukan sama ada Belanjawan 2021 diluluskan atau tidak.

Setakat ini, Perikatan Nasional (PN) membabitkan BN, PAS, GPS dan parti dari Sabah memiliki 112 kerusi.

Bagaimanapun bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menegaskan sokongan parti terhadap Belanjawan 2021 adalah secara bersyarat.

Syarat yang diletakkan BN adalah pelanjutan moratorium pinjaman dan pengeluaran caruman akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Warisan, Amanah tolak Belanjawan 2021

Selain itu, pembangkang juga dijangka akan menolak Belanjawan 2021 kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pakatan Harapan (PH) pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim akan bermesyuarat esok bagi membuat keputusan.

Parti Amanah Negara (Amanah) pimpinan. Mohamad Sabu telah membuat ketetapan untuk menolak Belanjawan 2021.

Manakala sumber memaklumkan, Parti Warisan Sabah (Warisan) pimpinan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal juga membuat keputusan menolak Belanjawan 2021.

“Ya, Warisan telah membuat keputusan menolak Belanjawan 2021, kecuali kerajaan memenuhi apa yang kita mahukan,” katanya.- Malaysiapost

Komen