Juruterbang selamat, pesawat rosak enjin

Juruterbang selamat, pesawat rosak enjin

DUA juruterbang pesawat ringan yang mendarat cemas di Kilometer 47.8 Lebuhraya Utara Selatan dekat Kulai, Johor, disahkan selamat.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Renggam, Penolong Penguasa Bomba Asyraf Nur Mohd Yusoff, berkata kedua-dua juruterbang adalah warganegara Singapura.

Menurutnya, pesawat jenis Beechcraft Bonanza N5045B itu dikendalikan Dr Yang Kuang Ying, 52, dan juruterbang kedua, Saleehullah Abdul Majid, 41.

“Maklumat awal, pihak kami dimaklumkan pesawat ringan mengalami kerosakan enjin.

“Pesawat berkenaan sudah dialihkan ke kawasan lapang berumput kira-kira 100 meter dari lokasi ia mendarat bagi melancarkan pergerakan trafik.

“Proses mengalihkan pesawat mengambil masa 30 minit membabitkan bomba, polis serta PLUS,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.

Asyraf Nur berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 10.13 pagi dan menghantar sebuah jentera bersama 10 anggota ke lokasi. – Malaysiapost

Komen