Lebih 700 dipindah akibat banjir di Perak

Lebih 700 dipindah akibat banjir di Perak

BANJIR kilat susulan hujan lebat di Perak bertambah buruk dengan jumlah penduduk dipindahkan ke enam pusat pemindahan sementara (PPS) meningkat sekali ganda daripada 319 pada jam 9 malam tadi kepada 736 setakat jam 6 pagi ini.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Perak, berkata daerah paling teruk terjejas adalah Larut Matang dan Selama (LMS) dengan jumlah keseluruhan penduduk dipindahkan ke empat PPS seramai 569 orang.

Katanya, terbaharu sebuah lagi PPS dibuka di LMS iaitu di Masjid Toh Paduka, Ijok kira-kira jam 7 malam tadi yang menempatkan 364 orang dari Kampung Bendang Luas, Kampung Teras, Kampung Masjid dan Kampung Baru Gelugor.

“PPS lain di LMS adalah dewan orang ramai Kampung Seri Ara yang menempatkan 55 orang, 47 lagi berada di Sekolah Rendah Agama Rakyat Ngah Ibrahim, Matang dan di Dewan Semai Bakti Felda Ijok terdapat 103 orang,” katanya seperti dilaporkan Bernama.

Sementara itu, bagi daerah Kerian terdapat 152 orang berlindung di Sekolah Kebangsaan Parit Haji.

Aman, Bagan Serai yang dibuka sejak Jumaat lalu selepas tujuh kampung dilanda banjir kilat antaranya Kampung Tebuk Panchur, Kampung Alor Setanggok, Kampung Tanjung Bugis dan Kampung Parit Abu Hassan Ban.

Katanya, di Hilir Perak pula 15 orang ditempatkan di Dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan selepas kediaman mereka di Kampung Belakang Kilang Kacang dan Lorong Bendera 1, Kampung Sungai Tukang Sidin dinaiki air.

Operasi memindahkan penduduk dan penugasan di PPS membabitkan kerjasama pelbagai jabatan dan agensi termasuk Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, bomba, polis dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA). – Malaysiapost

Komen