Pensyarah ditahan miliki senapang seludup

Pensyarah ditahan miliki senapang seludup

SEORANG pensyarah ditahan selepas melepaskan tembakan di sawah padi dengan menggunakan senapang yang disyaki diseludup dari negara jiran, semalam.

Pensyarah berusia 40-an itu ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) di Kampung Tasek Berangan, Pasir Mas, Kelantan.

Pegawai Pemerintah Batalion 8 PGA (PGA8), Superintendan Muhammad Shamsuddin, berkata suspek dikesan tidak mempunyai lesen dan permit pemilikan senjata, selain senapang terbabit dipercayai diseludup dari Thailand, melalui pangkalan haram.

Beliau berkata, dalam kejadian jam 3 petang semalam, anggotanya yang sedang membuat rondaan mengesan sebuah pacuan empat roda dalam keadaan mencurigakan di kawasan sawah padi.

“Anggota PGA kemudian melihat suspek turun dari kenderaan berkenaan sambil menggalas senapang sebelum terus melepaskan tembakan ke arah sawah.

“Susulan perbuatan itu, anggota PGA menghampiri suspek sebelum menahannya untuk pemeriksaan dan mendapati senapang terbabit adalah jenis pump gun bertulis perkataan Escort buatan Turki.

“Kami turut menemui dua butir peluru hidup pada senjata itu, selain pemeriksaan dalam kereta menemui sembilan peluru jenis Sg 12 Bore, lima peluru pelet dan 58 butir peluru bebola bearing,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.

Muhammad berkata, suspek yang juga pensyarah kanan di sebuah institut pengajian tinggi itu ditahan, manakala semua barangan serta kenderaan dirampas sebelum diserah kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas untuk siasatan dan tindakan lanjut.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 (Akta 206), Seksyen 8 Akta Senjata Api 1971 (Akta 37) dan Seksyen 7(1)(a) Akta Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 (Aktya 357).

“Saya menasihatkan orang awam untuk memohon lesen atau permit bagi memiliki senjata api, sejajar dengan undang-undang yang ditetapkan,” katanya. – Malaysiapost

Gambar sekadar hiasan

Komen