SFMM 35 malam ini ditunda

SFMM 35 malam ini ditunda

SISTEM Televisyen Malaysia Berhad (STMB) memutuskan siaran langsung peringkat separuh akhir program Muzik Muzik 35 (SFMM 35) episod ketiga yang dijadualkan malam ini, ditunda kepada tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

Menurut kenyataan STMB malam ini, seorang artis yang menyertai SFMM kelmarin disahkan dijangkiti Covid-19 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Artis berkenaan sedang menjalani rawatan di sebuah hospital kerajaan,” katanya.

Menurut kenyataan itu, artis terbabit menjalani ujian saringan selepas mengetahui kontak rapat yang ditemuinya Selasa lalu, didapati positif Covid-19 itu, semalam.

“Artis terbabit menjalani ujian mandatori Covid-19 yang dikendalikan KKM semalam dan disahkan positif, hari ini.

“STMB sedang bekerjasama rapat dengan KKM dan artis berkenaan untuk mendapatkan maklumat terperinci pergerakan beliau bagi mengurangkan risiko jangkitan kepada warga kerja dan semua yang terbabit dalam program SFMM 35.

“Pada masa sama, kerja sanitasi di lokasi acara, Sri Pentas 2 juga dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) KKM,” katanya.

Menurut kenyataan itu, STMB sentiasa mengutamakan kesihatan kakitangan dan pelanggannya serta sentiasa akur dengan setiap SOP ditetapkan KKM dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Kakitangan yang terbabit dalam produksi sudah memulakan kuarantin dan bekerja secara virtual di rumah masing-masing bermula hari ini.

“Kakitangan STMB yang juga kontak rapat dengan artis terbabit turut menjalani ujian saringan Covid-19,” katanya. – Malaysiapost

Komen