Tetamu kenduri di Ketereh diminta jalani ujian Covid-19

TETAMU yang hadir majlis kenduri di Kampung Chengal, Ketereh, Kelantan, 15 November lalu, diminta segera menjalani ujian saringan Covid-19 di klinik berdekatan.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin, berkata ia susulan seorang tetamu yang hadir ke majlis berkenaan positif Covid-19.

“Kita dapati seorang individu yang hadir ke majlis berkenaan disahkan positif Covid-19 selepas saringan dibuat.

“Individu berkenaan dikesan menerusi saringan bergejala dan kita masih dalam siasatan lanjut sama ada terdapat kaitan dengan mana-mana kluster.

“Sehubungan itu, kita minta tetamu yang hadir pada majlis berkenaan tampil membuat saringan,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian hari ini.

Semalam, tujuh kes baharu dicatatkan di negeri berkenaan, kebanyakannya daripada Kluster Mengketil.

Sehingga kini, sebanyak 71 kes aktif di negeri itu dengan dua kluster termasuk Kluster Kube. -Malaysiapost

Komen