6 dari 1,000 individu dijangkiti Covid-19, risiko maut

6 dari 1,000 individu dijangkiti Covid-19, risiko maut

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) melalui statistik yang dikumpul mendapati enam daripada 1,000 individu yang dijangkiti Covid-19 di negara ini berdepan risiko kematian.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sejak awal lagi KKM sudah melihat cara untuk melindungi kumpulan berisiko tinggi ini.

“Antara prosedur operasi standard (SOP) KKM ialah memastikan kumpulan berisiko tinggi ini dilindungi dan mereka yang pulang ke kampung halaman dinasihatkan menghindari kumpulan ini.

“Apabila anda balik ke kampung, anda mungkin membawa bersama jangkitan kepada warga emas.

“Mereka yang sudah berusia dan mempunyai penyakit komorbiditi mempunyai antibodi yang lemah berbanding mereka yang lebih muda,” katanya pada sidang media, hari ini.

Dalam pada itu, sebanyak 64 peratus daripada jumlah keseluruhan kematian berkaitan Covid-19 dicatatkan setakat ini membabitkan pesakit berusia 60 tahun ke atas.

Sejumlah 61.4 peratus dari kematian pula membabitkan individu yang menghidap penyakit darah tinggi, diikuti diabetes (42.3 peratus), penyakit jantung (24.1 peratus), kolestrol tinggi (19.1 peratus), penyakit buah pinggang (14.9 peratus) penyakit paru-paru (10.6 peratus), kanser (4.6 peratus) dan penyakit hati (1.7 peratus). – Malaysiapost

Komen