Bajet 2021: Ku Li tak sertai perbahasan, persoal kesahihan kerajaan PN

Bajet 2021: Ku Li tak sertai perbahasan, persoal kesahihan kerajaan PN

AHLI Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah mengesahkan tidak mengambil bahagian perbahasan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat kerana kesahihan kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak dapat ditentukan.

Tengku Razaleigh atau lebih dikenali sebagai Ku Li, memberitahu pendiriannya itu menerusi surat bertarikh 19 November lalu kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun.

“Oleh kerana kesahihan kerajaan kini masih belum ditentukan, saya terikat dengan suara hati dan sumpah jawatan yang telah saya lafazkan.

“Maka tidak dapat turut serta dalam perbahasan belanjawan,” katanya dalam surat itu.

Pengerusi Jemaah Penasihat Umno itu berkata, tanpa memastikan keabsahan kerajaan, perdana menteri dan jemaah menteri dalam jawatan akan menjejaskan salah satu prinsip penting perlembagaan.

“Mengambil bahagian dalam perbahasan Belanjawan tanpa memastikan sama ada Perdana Menteri dan para Menteri beliau sah atau tidak dalam jawatan akan menjejaskan salah satu prinsip penting Perlembagaan.

“Ia akan menghasilkan akibat buruk dalam usaha kita mendukung Perlembagaan dan mempertahankan Kedaulatan Undang-Undang.

“Ia juga mungkin mengakibatkan penggunaan rasuah politik untuk mengekalkan kuasa dan ini bercanggah dengan Perlembagaan,” katanya.

Beliau berpendapat bahawa ‘rasuah politik’ akan menjahanamkan sistem demokrasi berperlembagaan dari dalam.

“Pendapat di kalangan orang ramai ialah ‘rasuah politik’ dan wang akan memusnahkan negara tercinta ini dan sistem politik kita,” katanya.

Pada 25 September yang lalu, Tengku Razaleigh mengutus surat kepada Azhar dan menggesa agar usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin dibentang dan dibahaskan di Dewan Rakyat.

Namun, Azhar dalam surat balasnya mencadangkan agar veteran Umno berunding dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan bagi memastikan usul tidak percaya itu dibentangkan.

Menerusi surat terbaharu ini, Tengku Razaleigh menyanggah cadangan yang dikemukakan oleh Azhar itu dengan hujah menteri undang-undang tiada apa-apa peranan dalam menentukan sama ada usul undi tidak percaya boleh dibentang atau tidak.

“Mencadangkan isu sebegitu penting tertakluk kepada persetujuan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) adalah tidak mematuhi perlembagaan dan merupakan pencerobohan terhadap kebebasan dan kemerdekaan Dewan Rakyat daripada segala jenis kawalan oleh Badan Eksekutif,” katanya.

Terdahulu, satu surat dalam bahasa Inggeris didakwa ditulis Tengku Razaleigh Hamzah menjadi tular di media sosial pada Ahad.

Pejabat Ahli Parlimen Gua Musang itu memaklumkan surat itu bukan yang sebenar dihantar kepada Speaker. -Malaysiapost

Komen