Bantu 1.7 juta pelajar tak ada akses pembelajaran dalam talian

Bantu 1.7 juta pelajar tak ada akses pembelajaran dalam talian

KERAJAAN didesak menilai semula keperluan untuk menambah peruntukan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi membantu 1.7 juta pelajar yang tidak mempunyai akses pembelajaran dalam talian.

Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata penambahan peruntukan itu bertujuan bagi memastikan 1.7 juta pelajar berkenaan tidak dinafikan hak mendapat akses untuk pembelajaran dalam talian ketika pandemik Covid-19 ini.

Beliau berkata, Umno amat prihatin dengan laporan media mengenai kajian KPM yang menunjukkan 37 peratus daripada lebih 4.7 juta pelajar sekolah rendah dan menengah seluruh negara tidak mempunyai sebarang peranti bagi sesi pembelajaran dalam talian.

Katanya, angka ini bersamaan 1.7 juta pelajar yang tidak mempunyai gadget sama ada telefon pintar, tablet atau komputer.

“Iaitu peranti yang menjadi pra-syarat untuk membolehkan mereka belajar dalam talian akibat penutupan sekolah sehingga Januari tahun hadapan.

“Belanjawan 2021 ada menyentuh secara langsung bantuan kepada kelompok pelajar terbabit melalui inisiatif GLC/GLIC di bawah seliaan Yayasan Hasanah yang akan menyumbang RM150 juta kepada Dana Cerdik untuk memberi komputer riba kepada 150,000 pelajar di 500 sekolah perintis,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, katanya, inisiatif Yayasan Hasanah itu hanya menampung tidak sampai 9 peratus daripada 1.7 juta pelajar terbabit yang sebahagian besarnya adalah daripada kelompok B40.

“Iaitu keluarga dengan pendapatan isi rumah kurang RM4,800 sebulan,” katanya. -Malaysiapost

Komen