Buang mayat bayi, polis tahan dua individu

Buang mayat bayi, polis tahan dua individu

DUA individu ditahan selepas dipercayai meninggalkan mayat seorang bayi di pekarangan masjid di Sungai Way, Kuala Lumpur.

Polis berjaya mengesan suspek tersebut hasil maklumat dan semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di ruang hadapan sebuah masjid di kawasan berkenaan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superitendan Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, kedua-dua suspek yang merupakan seorang lelaki tempatan, 25, dan wanita asing ,26, ditahan di sebuah bilik hotel di Jalan SS3/39 Petaling Jaya.

“Hasil siasatan awal, kedua-dua suspek mengaku meninggalkan mayat bayi perempuan di hadapan masjid tersebut.

“Pada 22 November (Ahad), jam lebih kurang jam 8.45 malam, polis Daerah Petaling Jaya telah menerima satu laporan daripada seorang lelaki warganegara tempatan berumur 32 tahun.

“Pengadu merupakan imam sebuah masjid di kawasan Sg Way yang telah menjumpai mayat bayi perempuan yang dibungkus dalam plastik dan diletakkan di sebelah tayar kereta miliknya di hadapan masjid tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, pengadu turut menemukan sehelai kertas nota tertulis yang meminta bantuan pihak masjid menguruskan mayat bayi yang dianggarkan berusia empat bulan itu.

Katanya, kedua-dua suspek kini direman empat hari dan disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan.

“Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” katanya. – Malaysiapost

Komen