Dasar pengecualian kabotaj perlu dihentikan

Dasar pengecualian kabotaj perlu dihentikan

SYARIKAT gergasi teknologi Microsoft, Google dan Facebook meminta Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menarik balik dasar pengecualian kabotaj untuk kapal asing yang terlibat dalam pembaikan kabel bawah laut, yang menghubungkan Malaysia ke rangkaian internet global seperti diputuskan Menteri Pengangkutan.

Pengecualian ini membantu mempercepatkan pembaikan kabel dasar laut yang rosak dari semasa ke semasa, yang menyebabkan gangguan internet di negara ini.

Microsoft, Google, Facebook dan Malaysia Internet Exchange (MyIX), dalam memorandum kepada Muhyiddin bertarikh 20 November, berkata keputusan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong memberi kesan buruk kepada ekonomi Malaysia.

Syarikat gergasi teknologi itu turut mengingatkan bahawa keputusan Ka Siong akan mengakibatkan peningkatan tempoh pembaikan kabel dasar laut sehingga menjejaskan kestabilan internet di Malaysia.

“Pada saat jutaan rakyat Malaysia bergantung pada internet untuk mencari nafkah, pemulihan infrastruktur internet bawah laut yang mewakili pelaburan bernilai berbilion ringgit tak wajar ditangguhkan setiap kali pembaikan perlu dilakukan,” katanya.

Mereka menambah keputusan itu akan mewujudkan monopoli bagi satu syarikat perkapalan tempatan yang hanya memiliki satu kapal pemasangan kabel di Malaysia.

Malah mereka mendakwa kapal yang dimiliki syarikat tempatan itu tidak memenuhi spesifikasi seperti yang dimahukan oleh syarikat pemilikan kabel untuk melakukan kerja pembaikan kabel dasar laut.

Difahamkan, firma yang dimaksudkan adalah Optic Marine Group, yang sedang dalam proses mendaftarkan kapal peletakan kabel berbendera Malaysia.
Pengerusi eksekutif kumpulan itu adalah Lim Soon Foo, sementara anaknya, Ronnie Lim Hai Ling, sebagai Ketua Pegawai Eksekutif.

Menurut memorandum itu lagi, hanya terdapat 60 pakar seperti ini di dunia yang mempunyai keupayaan untuk memperbaiki kabel bawah laut, dan akhir kabotaj bermaksud kapal asing harus memohon pengecualian pelesenan perkapalan dalam negeri.

“Keputusan mendadak untuk pengecualian ini, tanpa sebarang perundingan pihak berkepentingan dengan pelabur asing dan pemilik kabel dasar laut, menjadi perhatian serius, kerana tidak memberi kestabilan atau suasana polisi yang kondusif untuk pelaburan asing,” katanya. – Malaysiapost

Komen