Ebit Lew bantu mangsa banjir pula

Ebit Lew bantu mangsa banjir pula

PENDAKWAH bebas, Ustaz Ebit Lew sanggup mengharungi banjir demi menyampaikan bantuan kepada mangsa terjejas di sekitar daerah Bagan Serai, Perak, semalam.

Ebit berkata, beliau menyerahkan sumbangan kepada 64 keluarga termasuk memberi 64 tilam saiz queen dan 130 tilam bujang selain wang tunai untuk membantu mangsa terjejas.

“Saya bawa 20 anak muda bersama dari Pertubuhan Kasih Umat Malaysia untuk bersihkan rumah di beberapa tempat.

“Sebak sayu ziarah kawasan banjir di Kampung Changkat Lobak, Kampung Parit Air Hitam 2 dan pusat mangsa banjir SK Parit Hj Aman Perak. Sampai di sana dibawa bersama Ketua Pesuruhjaya Angkatan Pertahanan Awam, Datuk Roslan Wahab,” katanya di Facebook.

Ebit berkata, banjir berkenaan adalah bencana kali ketiga sepanjang tahun ini yang terpaksa dihadapi penduduk berkenaan.

“Tadi (semalam) beri sedikit tazkirah. Sedihnya tengok ada yang sebak dan menangis. Berat ujian mereka. Ada barang rosak kerana tiada ahli keluarga lelaki nak angkat berat. Ibu tunggal anak kecil. Ada yang warga emas. Dan sayu juga tengok anak kecil berlari-lari.

“Ujian kerana Allah sayang. Semoga Allah beri kesabaran dan kekuatan buat semua yang dilanda banjir tahun 2020 ini,” katanya.

Sementara itu, Ebit turut menzahirkan terima kasih kepada APM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

“Malah semua yang membantu mangsa banjir. Allah pasti balas segala susah payah dan pengorbanan semua,” katanya.

Sementara itu, Berita Harian melaporkan. kehadiran Ebit di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Haji Aman, menceriakan 152 mangsa banjir yang berada di sana.

Mangsa banjir, Rokiah Yusof, 42, berkata beliau sebelum ini ada bersembang dengan penghuni lain di PPS itu mengenai Ebit yang banyak membantu pihak dalam kesusahan. -Malaysiapost

Komen